Trump Jadi 'Orang Tengah', Umum Gencatan Senjata Antara Israel & Iran
Difahamkan, gencatan senjata diumum selepas Iran lancarkan serangan ke atas pangkalan udara Amerika di Qatar.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, semalam mengumumkan satu gencatan senjata sepenuhnya dan menyeluruh antara Israel dan Iran akan berkuat kuasa bagi menamatkan konflik antara kedua-dua negara
Menerusi laporan Berita Harian, Trump turut mencadangkan agar kedua-dua pihak diberi sedikit masa untuk menyelesaikan misi yang sedang dijalankan sebelum gencatan senjata dimulakan secara berperingkat.
"Dengan andaian segala-galanya berjalan lancar, seperti yang sepatutnya, saya ingin mengucapkan tahniah kepada kedua-dua negara, Israel dan Iran, atas ketahanan, keberanian dan keberanian mereka dalam menamatkan, apa yang seharusnya dikenali sebagai 'PERANG 12 HARI'," tulisnya menerusi laman Truth Social.
Namun begitu, pengumuman tersebut dibuat hanya beberapa minit selepas kedua-dua negara saling mengeluarkan ancaman untuk melancarkan serangan balas baharu, menimbulkan keraguan terhadap kesahihan gencatan senjata itu.

Umumkan gencatan senjata beberapa jam selepas Iran lancar serangan ke pangkalan udara Amerika di Qatar
Menurut laporan CNN, seorang pegawai kanan Iran memaklumkan bahawa Tehran belum menerima sebarang cadangan rasmi berkaitan gencatan senjata, dan setakat ini tidak melihat keperluan untuk berbuat demikian.
Sementara itu, pihak Israel dilaporkan enggan memberikan sebarang komen lanjut berhubung pengumuman Trump tersebut.
Difahamkan, beberapa jam sebelum itu, tiga pegawai Israel memberi isyarat bahawa kempen ketenteraan di Iran bakal ditamatkan tidak lama lagi dan mesej itu sudah disampaikan kepada AS.

Trump seterusnya mengumumkan gencatan senjata beberapa jam selepas Iran melancarkan serangan peluru berpandu ke atas pangkalan udara Amerika di Qatar, namun tidak sebarang kecederaan.
Iran sebelum ini memberi amaran akan membalas tindakan Amerika susulan serangan bom bunker-buster ke atas fasiliti nuklear bawah tanah mereka, yang dilancarkan serentak dengan kempen udara Israel.
Trump turut mencetus kontroversi apabila menyuarakan kemungkinan kerajaan Iran digulingkan.
Bagaimanapun, Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei menegaskan bahawa Iran tidak akan menyerang sesiapa, tetapi juga tidak akan berdiam diri jika diserang.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via