MCMC Tawar Dua Program Biasiswa Baharu 'LEGASI & CARE', Ini Cara Untuk Anda Mohon
Permohonan program biasiswa MCMC ini telah dibuka bermula 24 Jun hingga 24 Julai 2025.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memperkenalkan dua program biasiswa baharu iaitu Biasiswa MCMC LEGASI dan Biasiswa MCMC CARE bagi membentuk bakat masa depan dalam sektor komunikasi dan multimedia yang semakin berkembang pesat di Malaysia
MCMC dalam kenyataan memaklumkan, ini merupakan kali pertama suruhanjaya tersebut menawarkan biasiswa sebagai satu inisiatif yang mencerminkan komitmen jangka panjang dalam membangunkan barisan bakat berkemahiran tinggi serta memajukan sektor komunikasi dan multimedia negara.
Menurut MCMC, kedua-dua biasiswa berkenaan menyediakan pembiayaan penuh serta pendedahan industri secara berstruktur bagi melengkapkan bakat muda Malaysia dengan kemahiran dalam bidang seperti telekomunikasi, media, dasar pengawalseliaan, keselamatan siber dan Internet of Things (IoT).

"Biasiswa ini menunjukkan komitmen MCMC untuk melahirkan bakat muda yang dapat menyokong kemajuan digital negara.
"Melalui peluang berdasarkan merit dan keperluan, MCMC membantu golongan belia berkembang, menyumbang secara bermakna dan membina masa depan dalam bidang komunikasi dan multimedia," katanya.
Biasiswa MCMC LEGASI (Leaders of the Next-Generation Scholarship)
MCMC LEGASI merupakan biasiswa berasaskan merit yang ditawarkan kepada pelajar cemerlang yang mengikuti pengajian peringkat ijazah sarjana muda dalam bidang berkaitan komunikasi dan multimedia di universiti terkemuka, sama ada dalam atau luar negara.
Selain pembiayaan penuh bagi yuran pengajian dan kos sara hidup, program ini turut menawarkan penempatan latihan industri serta jaminan pekerjaan di MCMC.

Penerima biasiswa akan didedahkan kepada bidang seperti pembangunan peraturan, infrastruktur digital, inovasi dasar dan keselamatan rangkaian.
Mereka juga akan menerima latihan dan pensijilan dalam pelbagai kemahiran bagi memastikan mereka bersedia untuk memimpin sektor ini selepas tamat pengajian.
Biasiswa MCMC CARE
Biasiswa MCMC CARE pula merupakan biasiswa berasaskan keperluan yang bertujuan membantu pelajar berpotensi tinggi daripada komuniti kurang berkemampuan untuk melanjutkan pengajian ijazah sarjana muda di universiti awam tempatan.
Selain bantuan kewangan penuh, para penerima biasiswa juga akan mendapat peluang menjalani latihan industri di MCMC.

Permohonan program biasiswa kini telah dibuka bermula 24 Jun hingga 24 Julai 2025
Sebarang makluman terkini akan dikongsikan menerusi platform media sosial rasmi MCMC. Penerima biasiswa yang berjaya akan dihubungi pada Ogos 2025.
Untuk maklumat lanjut berkaitan syarat kelayakan dan permohonan dalam talian, anda. boleh sahaja layari https://mcmc.gov.my/academy/en/scholarships-1 atau klik di MCMC LEGASI atau MCMC CARE!
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via