Harga Hotel Di Malaysia Dijangka Naik 10% – 15% Akibat Peluasan SST & Tarif Baharu Elektrik
Jangkaan itu dilaporkan berlaku mulai 1 Julai 2025.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Industri hotel tempatan dijangka naikkan harga kerana kos operasi meningkat
Industri hotel tempatan dijangka menaikkan kadar harga bilik sehingga 10% hingga 15%, susulan peningkatan kos operasi bermula 1 Julai.
Persatuan Hotel Malaysia (MAH) menyatakan bahawa kenaikan ini berpunca daripada pelaksanaan tarif elektrik komersial yang baharu dan peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang juga berkuat kuasa hari ini, menurut laporan The Vibes.
Naib Presiden MAH, Datuk Khoo Boo Lim berkata walaupun pihaknya tidak mahu menambah beban kos sara hidup rakyat, pengusaha hotel tiada pilihan selain memindahkan sebahagian kos tambahan ini kepada pengguna.
Menurutnya, masih terlalu awal untuk menetapkan kadar kenaikan yang tepat, namun Pengerusi MAH Negeri Sembilan, Haziz Hassan menjangkakan kenaikan antara 10% hingga 15%.
"Kami tiada pilihan, kami berdepan dengan tekanan kos daripada kenaikan gaji minimum, harga makanan, tarif elektrik, dan elemen SST yang perlu diserap," katanya.

Datuk Khoo Boo Lim.
Image via Jom Cuti CutiPada 1 Februari, gaji minimum dinaikkan kepada RM1,700 bagi syarikat dengan lima atau lebih pekerja, manakala syarikat kecil dengan kurang daripada lima pekerja mempunyai tempoh sehingga Ogos untuk mematuhinya. Banyak syarikat masih dalam proses menyesuaikan diri.
Kini, dengan beban tambahan daripada SST yang diperluas dan tarif elektrik baru berkuat kuasa hari ini, hotel terpaksa menghadapi tekanan kos berganda.
Tambahan pula, caruman KWSP sebanyak 2% untuk pekerja asing, yang wajib dilaksanakan Oktober 2025, akan menambah lagi kos yang perlu ditanggung oleh syarikat.
Walaupun Khoo menyokong kenaikan gaji minimum secara prinsip, beliau menegaskan bahawa industri hotel memerlukan gaji minimum sekurang-kurangnya RM2,000 sebulan untuk mengekalkan standard perkhidmatan.
Beliau juga menekankan bahawa pergantungan Malaysia terhadap import makanan menyumbang kepada kenaikan kos
"Komponen makanan dan minuman adalah perkhidmatan penting dalam industri hospitaliti, dan tetamu kami, yang majoritinya rakyat Malaysia, suka mencuba makanan," katanya .
Khoo bersetuju bahawa kadar bilik hotel pasti akan meningkat, selaras dengan unjuran Haziz .
Pada 29 Jun, Haziz melahirkan kebimbangan bahawa tiga perubahan besar; kenaikan gaji minimum, SST diperluas, dan tarif elektrik baharu yang dilaksanakan dalam jangka masa yang sangat singkat, menambah beban kepada industri.
Insider dalam industri pelancongan pula memberi amaran agar hotel tidak menaikkan kadar terlalu agresif, terutama dengan pelancaran Kempen Visit Malaysia Year 2026 yang dijangka bermula dalam masa enam bulan.
Kempen itu bertujuan menandakan kebangkitan semula sektor pelancongan Malaysia selepas impak pandemik COVID-19 sekitar empat tahun lalu.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via