Bekas Pekerja Pelantar Diuji Kanser Usus Tahap 4, Kini Bangkit Buat Resume Dari Rumah
Dia sudah menjalani pembedahan membuang tumor di rektum, hati dan organ.
Cover image via @arezym86 (TikTok)Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Tidak pernah terlintas dalam fikiran lelaki ini bahawa kehidupannya akan berubah sekelip mata akibat penyakit kronik
Malah, dia terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada dunia perkapalan yang sudah sebati dengannya.
Namun itulah realiti yang perlu dihadapi oleh Mohd Azim Abdul Nazar, 39, apabila disahkan menghidap barah usus tahap empat pada pertengahan April lalu.
Kisah Azim yang penuh ketabahan turut meraih perhatian warganet selepas video perkongsiannya di TikTok tular dan menyentuh hati ramai yang bersimpati dengan nasibnya.

Mengalami simptom kerap membuang air besar, perut berangin dan najis berdarah
Menerusi laporan Harian Metro, segalanya berubah apabila beliau mula mengalami simptom seperti kerap membuang air besar, perut berangin, serta najis berdarah sebelum akhirnya disahkan menghidap kanser.
"Saya mula sedar ada yang tak kena selepas mengalami simptom itu namun abaikan kerana sibuk dengan kerja.
"Sampai satu hari ketika di Jepun, saya sakit perut teruk hingga makan ubat pun tak berkesan sebelum ujian imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) mengesahkan saya menghidap barah.
"Waktu mula dapat tahu itu memang 'down' kerana saya manusia biasa dan fikirkan tanggungjawab sebagai ketua keluarga tapi akhirnya reda selepas muhasabah diri," katanya.

Difahamkan, dia sudah menjalani pembedahan membuang tumor di rektum, hati dan organ lain pada 22 Mei lalu di sebuah pusat perubatan swasta dekat Petaling Jaya, Selangor.
Kini, Mohd Azim berikhtiar merawat penyakitnya dengan menjalani lapan sesi kemoterapi seperti yang disyorkan doktor.
"Menurut doktor, kebanyakan penyakit seperti saya disebabkan faktor genetik tapi ia juga boleh berlaku kepada sesiapa saja.
"Memang sedih dan tak mudah nak mengharunginya tapi keluarga terutama isteri (Nor Suriani Md Said, 41), emak, ayah dan adik banyak bagi semangat.
"Mereka banyak berkorban malah ayah sanggup ulang alik dari dari Kuala Lumpur ke sini untuk menziarahi saya.
"Syukur dan ketika sakit ini barulah ada kesempatan luangkan waktu dengan keluarga kerana dulu kerja kuat sampai kurang masa dengan anak juga isteri.
"Tapi sekarang banyak di rumah dengan mereka," katanya yang menggunakan beg stoma bagi memudahkannya membuang najis.
Mohd Azim mengakui hasratnya untuk bekerja semula masih kuat, namun keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan serta risiko kesan sampingan akibat kerja berat menjadi halangan utama.
"Disebabkan tiada pendapatan, saya cuba buat kerja sambilan membuat resume pelaut di rumah selepas berhenti kerja April lalu.
"Tapi ia bukan kerja tetap jadi saya runsing fikirkan soal duit kerana anak pun masih bersekolah.
"Setakat ini, saya sudah terima dan sangat hargai bantuan daripada Ikhtisas Kelautan Malaysia (IKMAL) serta kumpulan pelaut.
"Tapi belum cuba mohon daripada Baitulmal dan agensi lain lagi," katanya.
Orang ramai yang berhasrat membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Hong Leong Bank bernombor 04101012728 atas nama Mohd Azim Abdul Nazar.
Lihat video di bawah:
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



