Bedah Siasat Zara Qairina: Peguam Tampil Jelaskan Beberapa Perkara
Zara Qairina meninggal dunia selepas didakwa terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama di sekolahnya.
Cover image via Harian MetroFollow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Peguam Shahlan Jufri memaklumkan bahawa proses bedah siasat Allahyarham Zara Qairina Mahathir yang dijalankan di Hospital Queen Elizabeth (HQE), semalam telah berjalan dengan telus, berintegriti dan mengikut prosedur yang ditetapkan
Mewakili keluarga Allahyarham, Shahlan turut menzahirkan penghargaan terhadap dedikasi pasukan forensik yang menjalankan pemeriksaan tanpa henti dari jam 11 pagi hingga 7.30 malam.
Setiap kecederaan diperiksa dengan teliti bagi memastikan segala fakta dapat direkodkan dengan tepat sepanjang proses tersebut.
Beliau ditemu bual media di luar Jabatan Forensik HQE sekitar jam 9.30 malam, sebaik sahaja proses bedah siasat selesai
Menurut laporan Harian Metro, peguam yang mewakili keluarga Allahyarham, Shahlan Jufri berkata, beliau sendiri berada di dalam bilik forensik sejak pemeriksaan berkenaan.
"Saya melihat sendiri bagaimana pemeriksaan dijalankan dari bahagian luar sehingga ke organ dalaman. Proses berjalan sangat baik dan tiada unsur seperti yang tular di media sosial kononnya ada 'tangan ghaib'. Saya berada di situ dari mula hingga akhir," katanya ketika ditemui di luar pekarangan Jabatan Forensik HQE pada jam 9.30 malam.

Peguam, Shahlan Jufri.
Image via Harian MetroImage via Image viaTiada VVIP turut serta, hanya wakil keluarga & pasukan forensik
Shahlan turut menegaskan bahawa tiada individu kenamaan hadir di dalam bilik bedah siasat seperti yang didakwa netizen.
Menurutnya, pemeriksaan melibatkan empat pakar patologi iaitu seorang dari Hospital Sultan Idris Shah, Serdang dan tiga lagi dari HQE. Ia turut dibantu jurugambar forensik serta anggota polis.
Beliau turut merakam setiap kecederaan yang diperiksa namun tidak dapat mendedahkan butiran lanjut kerana laporan bedah siasat adalah dokumen sulit yang hanya boleh dibentangkan di mahkamah, sekiranya berlaku inkues.
Pemeriksaan dilakukan secara teliti & tanpa henti
Mengulas lanjut, Shahlan berkata pasukan forensik mempamerkan tahap dedikasi tinggi apabila tidak duduk, makan atau minum sepanjang lebih lapan jam pemeriksaan.
"Setiap kecederaan dinilai satu persatu. Bila ada kecederaan, mereka akan panggil saya untuk terangkan. Mereka bukan buat kerja secara sembrono," ujarnya.
Katanya lagi, beliau akan berbincang dengan keluarga selepas pengebumian semula jenazah bagi menentukan langkah seterusnya, termasuk kemungkinan memohon inkues.

Laporan dijangka siap dalam tempoh sehingga dua bulan
Berkenaan tempoh laporan rasmi, Shahlan menjelaskan ia bergantung kepada pasukan forensik dan mungkin siap seawal tiga minggu atau selewat-lewatnya dua bulan.
Beliau menambah, siasatan masih berjalan dan pihaknya telah membuat laporan polis lebih awal dengan syak wujud unsur jenayah, namun segala pengesahan hanya boleh dibuat selepas laporan bedah siasat lengkap.
Sebelum ini, Zara Qairina meninggal dunia selepas didakwa terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Limauan di Kinarut pada 16 Julai lalu.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



