Be My Eyes Jadi ‘Mata’ Buat OKU, Perjalanan Gadis Datang Interview Sentuh Hati Ramai
Bagus juga aplikasi ini.
Cover image via Gambar janaan AI & Jejune MagazineFollow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Dalam era digital yang serba pantas, teknologi sering kali dilihat sebagai alat untuk memudahkan urusan harian
Namun, bagi komuniti cacat penglihatan dan golongan yang mempunyai penglihatan terhad, teknologi boleh menjadi "mata" tambahan yang mengubah kehidupan mereka. Salah satu inovasi paling bermakna dalam ruang ini ialah aplikasi Be My Eyes.
Untuk makluman anda, Be My Eyes ialah sebuah aplikasi mudah alih percuma yang direka khas untuk menghubungkan pengguna cacat penglihatan dengan sukarelawan celik atau kecerdasan buatan (AI) secara langsung.
Melalui kamera telefon pintar, aplikasi ini memberikan bantuan visual masa nyata untuk membantu tugasan harian yang mungkin mencabar bagi mereka.

Gadis merupakan seorang anak yatim dan hidup sebatang kara tanpa rakan perempuan
Baru-baru ini, seorang sukarelawan lelaki dari Malaysia berkongsi satu pengalaman menyentuh jiwa apabila menerima panggilan daripada seorang gadis cacat penglihatan yang sedang mempersiapkan diri untuk ke temu duga kerja.
Panggilan itu dimulakan dengan satu soalan ringkas dengan bertanya: "Baju ni padan tak dengan tudung saya, encik?".
Gadis tersebut sedang dalam dilema untuk memilih pakaian yang sesuai. Sukarelawan itu kemudian mencadangkan set berwarna biru kerana gadis itu mempunyai koleksi baju berwarna biru muda dan gelap.
Memandangkan perbualan tersebut melibatkan soal penampilan, si sukarelawan sempat bertanya sekiranya gadis itu mempunyai rakan perempuan terdekat untuk dirujuk.
Jawapan yang diterima cukup menyayat hati. Gadis itu rupa-rupanya seorang anak yatim dan hidup sebatang kara tanpa rakan perempuan.
Dia amat teruja kerana terdapat program khas yang menawarkan peluang pekerjaan untuknya, namun dia kekurangan keyakinan diri terutamanya dalam soal penampilan.

Luah rasa terharu dan berterima kasih
Menyedari gadis itu selesa berbual dengannya walaupun dia seorang lelaki, sukarelawan tersebut memutuskan untuk membantu sebaik mungkin.
Sambil memegang telefon, dia gigih mencari rujukan warna baju di iPad bagi memastikan nasihat yang diberikan adalah yang terbaik.
"Suasana masa tu dah macam borak dengan BFF (kawan baik) perempuan. Saya gigih komen 'tak sesuai lah', 'tak padan lah', sementara dia pula tekun menyusun satu per satu baju kurung lama dan tudung di atas katil untuk saya lihat," kongsi sukarelawan terbabit.
Meskipun pakaian yang dimiliki hanyalah baju kurung biasa dan tudung ringkas, sukarelawan itu cuba menceriakan suasana dengan gurauan mesra.
"Bila dia tunjuk kombinasi yang kurang kena, saya usik dia, 'Eh, ni pelik sangat ni' atau 'Ni kalau penemuduga tengok, mahu terbeliak mata mereka'. Kami berdua ketawa."

Detik paling bermakna dalam interaksi tersebut tercapai apabila mereka berjaya memuktamadkan pilihan persalinan yang paling ideal.
Bagi menaikkan semangat dan motivasi gadis berkenaan, sukarelawan terbabit memberikan galakan positif dengan menyatakan bahawa penampilan tersebut sangat profesional dan mampu menjamin peluang pekerjaan buatnya.
Reaksi balas daripada gadis itu amat menyentuh hati. Meskipun dia menzahirkan kegembiraan melalui tawa, perbualan berkenaan diakhiri dengan nada sebak apabila dia menyatakan, "Terima kasih encik, saya rasa seolah-olah sedang berbual dengan rakan wanita sendiri."
Kenyataan tulus tersebut memberikan kesan emosi yang mendalam kepada sukarelawan terbabit.
Pengalaman menyaksikan ketabahan seorang individu cacat penglihatan yang berjuang sendirian demi kelangsungan hidup tanpa sistem sokongan sosial kukuh telah membangkitkan rasa empati yang tinggi.
Susulan daripada tugasan berkenaan, sukarelawan itu sempat menitipkan doa agar urusan kerjaya gadis terbabit dipermudahkan, dikurniakan persekitaran sosial yang baik dan diberi kedudukan mulia dalam masyarakat.
Bagaimana aplikasi Be My Eyes berfungsi?
Aplikasi ini menawarkan ekosistem sokongan yang komprehensif melalui tiga ciri utama:
- Panggilan Video Sukarelawan: Pengguna boleh membuat panggilan video segera kepada komuniti sukarelawan global yang tersedia dalam pelbagai bahasa. Sukarelawan akan membantu melihat melalui kamera telefon pengguna untuk tugasan seperti membaca label ubat, mengenal pasti bungkusan makanan, atau mencari barang yang terjatuh.
- Be My AI (Penerangan Imej AI): Ciri canggih ini menggunakan kuasa AI untuk menghuraikan imej secara terperinci. Pengguna hanya perlu mengambil foto, dan AI akan memberikan keterangan visual yang sangat tepat, membolehkan mereka memahami persekitaran atau kandungan dokumen tanpa perlu menunggu bantuan manusia.
- Sokongan Syarikat: Aplikasi ini turut menyediakan direktori khusus yang menghubungkan pengguna secara terus dengan wakil khidmat pelanggan daripada pelbagai syarikat. Ini sangat membantu apabila pengguna memerlukan bantuan teknikal untuk produk tertentu atau penyelesaian masalah peranti.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



