Bayi 4 Bulan Meninggal Dunia Di Taska Dalam Kawasan Hospital, Keluarga Tuntut Keadilan
Salam takziah buat keluarga mangsa, semoga pelaku dikenakan tindakan sewajarnya.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Seorang bayi lelaki berusia empat bulan dilaporkan meninggal dunia selepas ditempatkan di sebuah pusat jagaan kanak-kanak dalam kawasan Hospital Seberang Jaya pada Isnin, 9 Mac 2026
Menurut laporan Harian Metro, kejadian menyayat hati itu menimbulkan persoalan apabila keluarga mangsa mendakwa kemungkinan wujud unsur penderaan berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang diperoleh.
Mangsa, Hayl Haarith Mohd Syafaeez, dihantar ke pusat jagaan berkenaan pada malam sebelumnya kerana ibunya, Ummu Habibah Wahab, 30, yang merupakan seorang jururawat sedang bertugas syif malam.
Namun kira-kira jam 4 pagi, bayi itu dikejarkan ke Jabatan Kecemasan hospital dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Doktor dilaporkan melakukan CPR selama hampir sejam untuk menyelamatkan mangsa, namun bayi itu akhirnya disahkan meninggal dunia.

Keluarga terima panggilan mengatakan bayi sudah kebiruan
Bapa saudara mangsa, Ahmad Lutfihadi Wahab, 31, berkata mereka dimaklumkan mengenai keadaan bayi itu selepas ibunya menerima panggilan daripada pihak pusat jagaan.
"Kakak saya menelefon dan memberitahu anaknya kebiruan dan tidak bernyawa. Kami terus bergegas ke Jabatan Kecemasan, tetapi dia telah meninggal dunia ketika CPR sedang dilakukan," katanya.
Lutfihadi turut mendakwa dia berjaya mendapatkan akses kepada rakaman CCTV pusat jagaan berkenaan yang menurutnya menunjukkan kemungkinan berlaku penderaan dan buli terhadap bayi itu.
Susulan itu, beliau membuat laporan polis dan menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan menyeluruh.
"Ini melibatkan kematian. Mereka yang bertanggungjawab tidak boleh dilepaskan begitu sahaja," katanya.
Pusat jagaan beroperasi 24 jam dalam kawasan hospital

Menurutnya, pusat jagaan tersebut beroperasi selama 24 jam dan dipantau oleh penyelia.
Namun, mereka tidak menyangka perkara sebegini boleh berlaku memandangkan lokasi taska itu berada dalam kawasan hospital.
"Kami fikir ia selamat kerana berada dalam kawasan hospital. Kami tak pernah jangka perkara seperti ini akan berlaku kepada keluarga kami sendiri," katanya lagi.
Difahamkan, Hayl Haarith merupakan anak pertama Ummu Habibah dan baru sahaja dihantar ke pusat jagaan tersebut selepas ibunya kembali bekerja selepas tamat tempoh berpantang.
Lutfihadi berkata sebelum ini dia kerap menghantar dan mengambil anak saudaranya itu, namun tidak pernah melihat sebarang kecederaan pada tubuh bayi tersebut.
Bagaimanapun, beliau mendakwa ada ibu bapa lain yang pernah menyuarakan kebimbangan tentang insiden seperti kanak-kanak ditampar di pusat jagaan berkenaan.
Sudah beli baju raya untuk anak saudara
Dalam nada sebak, Lutfihadi berkata dia sudah membeli pakaian baharu untuk dipakai bayi itu sempena Aidilfitri tidak lama lagi.
"Saya sudah rancang untuk sambut hari raya bersama kakak dan anak saudara saya. Sekarang yang tinggal hanyalah pakaiannya," katanya.
Jenazah bayi itu difahamkan akan dikebumikan di Terengganu bersebelahan kubur neneknya. Sementara itu, polis dilihat berada di lokasi kejadian untuk mengumpul bukti dan difahamkan dua wanita turut dibawa bagi membantu siasatan kes tersebut.
Lihat video di bawah:
View on Threads
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 