Barang Lama Tapi Padu, Ramai Kongsi Koleksi Jenama National Yang Masih Bertahan Hingga Kini
Masih elok-elok semua.
Cover image via ThreadsFollow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Pada zaman sekarang, membeli barangan elektrik seolah-olah satu perjudian kerana jangka hayatnya sering bergantung kepada nasib
Ada yang mampu bertahan bertahun-tahun, namun tidak kurang juga yang rosak sebaik sahaja tempoh jaminan tamat.
Berbeza dengan teknologi moden yang kadangkala terasa rapuh, kualiti pembuatan barangan lama nampaknya mempunyai kelas tersendiri yang sukar dicapai oleh produk masa kini.
Baru-baru ini di aplikasi Threads, tular satu perkongsian dalam kalangan peminat barangan vintaj dan pemilik kediaman yang bangga mempamerkan koleksi barangan elektrik jenama National milik mereka yang masih berfungsi dengan sempurna.

Masih berfungsi dan boleh digunakan sehingga kini
Segalanya bermula menerusi satu perkongsian di akaun Threads milik @taufiqmnsr, yang memuat naik gambar pembersih vakum jenama National miliknya yang masih kelihatan teguh.
Apa yang mengagumkan ramai pihak adalah pendedahan bahawa vakum tersebut merupakan keluaran era 90-an, namun tetap mampu berfungsi dengan cemerlang tanpa sebarang masalah teknikal meskipun sudah menjangkau usia puluhan tahun.


Hantaran ringkas itu ternyata mencetuskan fenomena nostalgia apabila ramai netizen mula membanjiri ruangan komen dengan mempamerkan koleksi barangan National yang masih berkhidmat di rumah masing-masing.
Pelbagai barangan ikonik dikongsikan, bermula daripada periuk nasi dan seterika yang masih panas membara, unit penyaman udara yang kekal sejuk, sehinggalah ke kipas angin yang dianggap "kebal" kerana motornya yang tahan lasak dan tidak pernah meragam.
Ketahanan luar biasa barangan ini turut mengundang seloroh daripada netizen yang mendakwa kualitinya yang "terlalu bagus" mungkin menjadi cabaran buat pengeluar.
Secara jenaka, mereka berpendapat pengguna tidak perlu lagi membeli barangan baharu, sekali gus menyukarkan syarikat untuk mendapatkan jualan ulangan.


Untuk pengetahuan anda, jenama National telah dijenamakan semula secara global kepada Panasonic pada 2003, dengan peralihan sepenuhnya di Malaysia sekitar 2008.
Walaupun jenama tersebut tidak lagi dikeluarkan, "DNA" ketahanan dan kualiti kejuruteraan Jepun yang dibawanya kekal menjadi tanda aras keunggulan barangan elektrik sehingga kini.

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



