Bank Dunia Saran Malaysia Naikkan Umur Pengeluaran KWSP Kepada 65 Tahun – “Umur 55 Terlalu Awal”
Bank Dunia berpandangan bahawa akses kepada simpanan persaraan pada usia 55 tahun terlalu awal.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Bank Dunia mencadangkan supaya Malaysia menaikkan had umur pengeluaran penuh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada sekurang-kurangnya 65 tahun, selaras dengan peningkatan jangka hayat sihat rakyat dan perubahan struktur demografi negara
Menurut laporan Sinar Harian, cadangan tersebut dikemukakan menerusi laporan baharu bertajuk "Should Malaysia Expand Its Social Pension? Global Evidence, Design Issues and Options" yang diterbitkan pada Oktober 2025.
Berdasarkan laporan, Malaysia dijangka menjadi masyarakat menua menjelang 2045, apabila 14% penduduk berusia 65 tahun ke atas dan angka itu dijangka meningkat kepada 20% menjelang 2056.
Namun, Bank Dunia berpandangan bahawa akses kepada simpanan persaraan pada usia 55 tahun terlalu awal, dan berisiko menyebabkan pesara kehabisan simpanan dalam masa singkat.
"Akses kepada simpanan persaraan pada usia 55 dianggap terlalu rendah berbanding struktur demografi Malaysia, sekali gus meningkatkan risiko kehabisan simpanan lebih awal dalam tempoh persaraan," jelas laporan itu.

Simpanan cepat habis, liputan pencen formal masih rendah
Data Bank Dunia menunjukkan baki purata ahli KWSP pada usia pengeluaran masih rendah dan kebanyakan habis digunakan dalam tempoh tiga hingga lima tahun selepas dikeluarkan.
Lebih membimbangkan, hanya sekitar 42% tenaga kerja Malaysia mencarum secara aktif dalam skim pencen formal yang menggambarkan jurang besar dalam jaringan keselamatan sosial bagi warga emas.
Bagi mereka yang tidak mempunyai simpanan mencukupi, pilihan bantuan kerajaan juga terhad. Hanya sekitar 4% warga emas menerima Bantuan Warga Emas (BWE), iaitu antara kadar terendah di dunia. Manakala, 60% warga emas menerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR).
Namun, gabungan kedua-dua bantuan itu hanya mewakili kurang daripada 10% pendapatan pra-pemindahan bagi kebanyakan isi rumah warga emas.

Bank Dunia turut menekankan bahawa ramai warga emas Malaysia masih bergantung kepada sokongan keluarga, tetapi trend itu kini semakin lemah disebabkan saiz keluarga yang mengecil dan perubahan norma sosial.
Akibatnya, semakin ramai warga tua tinggal bersendirian dan bergelut dengan kos sara hidup tanpa sumber kewangan stabil.
"Pada 2022, KWSP menganggarkan hanya 18% ahli lelaki dan 12% ahli wanita mencapai had simpanan asas sebanyak RM240,000 menjelang umur 55 tahun," menurut laporan itu.
Cadangan untuk luaskan liputan pencen sosial & semak semula kelayakan bantuan
Bagi menangani jurang ini, Bank Dunia mencadangkan beberapa langkah reformasi, antaranya:
- Meluaskan liputan pencen sosial bermula dengan isi rumah kumpulan B40.
- Menyemak semula ambang kelayakan pendapatan supaya lebih ramai warga emas layak menerima bantuan.
- Mengindeks kadar bantuan pencen sosial kepada inflasi agar nilainya tidak susut dari semasa ke semasa.
- Menambah baik sistem penyasaran bantuan melalui pangkalan data kerajaan seperti PADU.
Selain itu, Bank Dunia turut mencadangkan umur kelayakan untuk bantuan pencen sosial dinaikkan kepada 65 tahun, sejajar dengan cadangan had umur pengeluaran KWSP yang baharu.
Bank Dunia menegaskan bahawa peluasan perlindungan sosial perlu dilaksanakan bersama reformasi hasil kerajaan dan penstrukturan semula subsidi tersasar, agar dasar tersebut kekal mampan secara fiskal.
Dengan reka bentuk bersasar dan reformasi hasil yang sesuai, peluasan pencen sosial dapat dilaksanakan secara berhemah tanpa membebankan kewangan negara.
Kesimpulannya, Bank Dunia menekankan bahawa reformasi menyeluruh terhadap sistem pencen sosial Malaysia berpotensi besar untuk mengurangkan ketidaksamaan, meningkatkan kesejahteraan warga emas, dan menyokong matlamat Malaysia ke arah masyarakat menua yang inklusif dan produktif menjelang dekad akan datang.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 