Bahasa Isyarat Malaysia Bakal Diajar Sebagai Subjek Tambahan Di Sekolah Bermula 2027
Pelaksanaan subjek tersebut adalah menerusi Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI).
Cover image via Gambar janaan AI & BernamaFollow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Pelaksanaan Kurikulum Persekolahan 2027 (KP2027) dijangka membuka ruang lebih luas kepada murid aliran perdana untuk mempelajari Bahasa Isyarat Malaysia (BIM) sebagai bahasa tambahan
Menurut laporan Bernama, Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh, menyatakan bahawa inisiatif ini melengkapi usaha sedia ada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sejak 2011 melalui subjek Bahasa Isyarat Komunikasi (BIK) dan Pendidikan Asas Individu Kurang Upaya Penglihatan (PAIKUP) dalam Kurikulum Standard Sekolah Rendah Pendidikan Khas (KSSRPK).
Menurut beliau, pelaksanaan subjek tersebut menerusi Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) membolehkan murid berkeperluan pendidikan khas dan murid aliran perdana belajar bersama dalam persekitaran yang lebih inklusif, sama ada di dalam mahupun di luar bilik darjah.
"Penyertaan daripada murid aliran perdana dapat meningkatkan kefahaman serta toleransi terhadap golongan orang kurang upaya," katanya semasa sesi soal jawab lisan di Dewan Negara semalam.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh.
Image via BernamaPemegang kad OKU turut menikmati pelbagai kemudahan, termasuk pengecualian yuran perubatan dan manfaat pengangkutan
Wong menambah bahawa KP2027 bukan sahaja memberi peluang kepada murid aliran perdana di sekolah yang mempunyai kelas PPKI untuk mempelajari BIM, malah membantu memupuk budaya sekolah inklusif yang menggalakkan integrasi sosial sejak peringkat awal.
Sementara itu, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) terus memperluas inisiatif bagi membantu kanak-kanak kurang upaya daripada keluarga miskin, merangkumi sokongan kebajikan dan pendidikan sehingga mereka mencapai usia dewasa.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri, menyatakan bahawa usaha kerajaan tertumpu kepada lima keutamaan utama: bantuan kebajikan dan sokongan kewangan, pendidikan inklusif dan khas, pemulihan dan intervensi awal, latihan kemahiran dan kebolehpasaran, serta perlindungan dasar dan undang-undang.
"Kami mahu memastikan setiap kanak-kanak kurang upaya daripada keluarga miskin tidak ketinggalan dari segi pembangunan dan peluang pendidikan bermula dari alam kanak-kanak sehingga dewasa," katanya dalam sesi yang sama.
Nancy menjelaskan bahawa KPWKM menyediakan pelbagai skim bantuan seperti Bantuan Kanak-Kanak (BKK), Bantuan Am Persekutuan (BA), Bantuan Anak Pelihara (BAP), serta bantuan alat tiruan dan sokongan. Bagi golongan OKU dewasa yang tidak berupaya bekerja, Bantuan OKU Tidak Berupaya Bekerja (BTB) turut disalurkan secara bulanan.

Gambar sekadar hiasan.
Kerajaan juga memperkasakan pendidikan inklusif melalui Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) dan geran intervensi awal kepada TASKA OKU bagi membantu perkembangan kemahiran sosial murid. Dari aspek pemulihan pula, Program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) menawarkan latihan kemahiran asas dan aktiviti sosialisasi beserta elaun bulanan RM300 kepada pelatih.
Tambah beliau, pemegang kad OKU turut menikmati pelbagai kemudahan termasuk pengecualian yuran perubatan dan manfaat pengangkutan. Bagi golongan remaja, Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan (PLPP) Bangi menyediakan latihan vokasional, manakala Elaun Pekerja OKU diberikan sebagai galakan untuk mereka hidup berdikari.
"Semua inisiatif ini berpandukan Dasar OKU Negara dan Akta Orang Kurang Upaya 2008 bagi memastikan golongan OKU mempunyai akses kepada pendidikan, peluang pekerjaan, perlindungan kebajikan, serta penyertaan dalam masyarakat.
"Melalui intervensi awal dan jaringan keselamatan sosial yang inklusif, kita menyediakan jambatan buat kanak-kanak kurang upaya untuk melangkah ke alam dewasa dengan lebih yakin," katanya.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



