Badan ‘Sado’ Berbayar, Pempengaruh Sanggup Belanja RM2.5 Juta Demi Otot Sempurna
Hao mengaku memilih jalan kosmetik kerana gagal mendapatkan bentuk badan berotot melalui senaman biasa.
Cover image via DouyinFollow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Seorang pempengaruh media sosial di China mencuri perhatian ramai selepas mendakwa membelanjakan sebanyak empat juta yuan (kira-kira RM2.5 juta)
Semuanya bagi mendapatkan bentuk badan berotot dengan lapan ketulan perut (8-pack) melalui prosedur suntikan asid hialuronik.
Individu berkenaan, Andy Hao Tienan, yang juga pencipta kandungan dalam bidang kecantikan dan fesyen, memaklumkan bahawa beliau menjalani 40 suntikan pada bahagian bahu, tulang selangka, dada dan abdomen.
Ini menjadikannya antara individu pertama di China yang menjalani rawatan kecantikan ekstrem seumpama itu.

Andy Hao Tienan mempamerkan otot perutnya. Dia mempunyai kira-kira 100,000 pengikut dalam talian.
Image via DouyinSebanyak 20 peratus daripada tubuhnya kini terdiri daripada asid hialuronik
Menurut laporan South China Morning Post (SCMP), profil media sosial Hao menyebut bahawa 20 peratus daripada tubuhnya kini terdiri daripada asid hialuronik iaitu bahan semula jadi yang berfungsi melincirkan sendi dan tisu penghubung.
Dalam bidang kosmetik, asid ini lazimnya digunakan sebagai bahan pengisi wajah bagi menambah isi dan mengurangkan kedutan.
Namun, Hao memilih pendekatan ekstrem apabila merancang untuk menerima 10,000 suntikan di seluruh badan dan kini sudah mencapai 40 peratus daripada sasaran itu.
Hao mengakui memilih jalan kosmetik selepas gagal membentuk otot melalui senaman biasa.
"Saya setuju bahawa otot tidak tumbuh pada orang yang pengecut. Tetapi kamu perlu faham, saya telah menerima begitu banyak suntikan dan saya bukan pengecut lagi. Kamu berani buat seperti saya?" katanya.
Beliau turut berhasrat memohon rekod dunia Guinness bagi kategori "abs tiruan paling tahan lama diperbuat daripada asid hialuronik" sekiranya hasilnya kekal selama tiga tahun, malah berjanji akan "mengetuk kacang walnut menggunakan otot perutnya dalam siaran langsung".

Hao berkata, dia merancang untuk mendapatkan 10,000 suntikan asid itu ke dalam tubuhnya.
Image via DouyinBerpuas hati dengan pembedahan yang dilakukan selepas 5 bulan
Hampir lima bulan selepas menjalani prosedur tersebut, Hao mengakui masih berpuas hati dengan hasil yang diperoleh.
"Ia kelihatan lebih semula jadi dari masa ke masa. Garisan abs masih jelas dan tidak bergabung menjadi satu ketulan," katanya.
Bagaimanapun, pakar perubatan memberi amaran mengenai risiko serius yang boleh timbul daripada prosedur seumpama itu.
Dr Li Jialun dari Jabatan Pembedahan Plastik Hospital Union, Wuhan, menjelaskan bahawa suntikan asid hialuronik dalam jumlah besar boleh merosakkan tisu kulit serta menyebabkan saluran darah mati.
"Sebanyak 40 suntikan boleh menghancurkan lapisan kulit dan menyebabkan nekrosis," ujarnya.

Hao, di tengah, berkata jika otot perutnya masih kekal dalam tempoh tiga tahun, beliau akan membuat siaran langsung "memecahkan kacang walnut" menggunakan otot tersebut.
Image via DouyinBeliau turut menambah bahawa otot tiruan mungkin tampak nyata ketika badan dalam keadaan statik, namun akan berubah bentuk apabila seseorang bergerak.
Menurut laporan portal HK01, pakar turut menegaskan bahawa asid hialuronik hanya sesuai digunakan dalam suntikan kecil.
Penggunaannya secara berlebihan bukan sahaja boleh menyebabkan kecacatan bentuk tubuh, malah melibatkan kos yang jauh lebih tinggi berbanding membina otot secara semula jadi melalui senaman dan latihan kecergasan.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



