Aunty Biarkan Lampu Kedainya Menyala Setiap Malam Selama 13 Tahun Demi Keselamatan Golongan Wanita
Baik usaha yang dilakukan mak cik ini.
Cover image via South China Morning PostFollow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Seorang pemilik kedai runcit berusia 60 tahun di Changsha, China, menjadi perhatian ramai selepas tindakannya yang penuh belas dan konsisten selama lebih satu dekad tular
Sun Meihua, yang kini dikenali penduduk sekitar sebagai 'aunty lampu jalan', telah menyalakan lampu luar kedainya sepanjang malam sejak tahun 2012.
Menurut laporan South China Morning Post, semuanya bermula apabila sekumpulan wanita muda yang kerap pulang lewat dari tempat kerja memaklumkan bahawa cahaya dari kedai Sun membuatkan mereka berasa lebih selamat ketika berjalan pulang.
Sejak detik itu, Sun tidak pernah memadamkan lampu luar kedainya. Malah, beliau turut melanjutkan waktu operasi kedainya sehingga jam 2 pagi bagi memastikan pencahayaan tersebut terus menyala sepanjang tempoh paling kritikal.

Kebaikan Sun Meihua ternyata tidak terhenti setakat menjadi 'lampu jalan' buat penduduk sekitar
Wanita berusia 60 tahun itu turut memindahkan telefon rumahnya ke dalam kedai semata-mata untuk memudahkan warga emas dan kanak-kanak di kawasan kejiranan membuat panggilan percuma kepada ahli keluarga mereka.
Menurutnya, ramai dalam kalangan warga emas tidak begitu mahir menggunakan telefon bimbit, manakala ada kanak-kanak pula yang tidak dibenarkan membawa telefon ke sekolah. Justeru, kemudahan telefon itu menjadi penghubung penting antara mereka dan orang tersayang.
Telefon tersebut digunakan dengan begitu kerap sehingga Sun perlu menukar set baru setiap tahun. Namun, beliau langsung tidak berkira, malah bertekad untuk terus mengekalkan perkhidmatan itu selagi termampu.
Lebih mengagumkan, Sun juga menyimpan kunci pendua milik jiran-jirannya secara percuma, atas dasar percaya dan saling menjaga dalam komuniti.

"Saya percaya pada Meihua," kata seorang jiran warga emas, sambil menambah bahawa dia akan menghubungi Sun setiap kali memerlukan bantuan.
Sun dan suaminya, yang telah menetap di kawasan itu lebih 20 tahun, pernah melalui kesukaran kewangan dan bergantung kepada bantuan komuniti sekitar.
Katanya, segala tindakan beliau hari ini adalah cara untuk membalas budi atas kebaikan yang pernah diterima dahulu.
"Saya cuma mahu bantu mereka yang memerlukan," ujar Sun.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



