“Assalamualaikum Zara, Kita Jumpa Lagi” – Kata-Kata Pertama Ibu Zara Sewaktu Tatap Wajah Anaknya Kembali
Jasad arwah Zara Qairina masih utuh dan dalam keadaan baik meskipun sudah lebih 3 minggu dikebumikan.
Cover image via Marhamah Rosli (Facebook)Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
"Assalamualaikum Zara.. Kita jumpa lagi.." Inilah kata-kata pertama ibu Zara Qairina sewaktu pertama kali melihat wajah anak solehah ini dikeluarkan dari liang lahad
Menerusi perkongsian seorang wanita yang dikenali sebagai Marhamah Rosli di Facebook, dia berkongsikan momen ibu Zara ketika pertama kali melihat wajah anaknya setelah dikeluarkan dari liang lahad untuk proses bedah siasat.
Katanya lagi, dia sudah lama tidak berkongsikan rutin kes seperti sebelum ini bagi memberi laluan kepada pengumuman penting pihak pasukan undang-undang ibu Zara.
"Alhamdulillah.. Selesai sudah proses menggali pusara Almarhumah Zara Qairina.. Dan MasyaAllah, 3 minggu selepas pemergian beliau, jenazahnya langsung tidak berbau.
"Selepas solat subuh tadi, saya berbual panjang dengan ibu Zara. Santai-santai sambil tunggu waktu Dhuha. Bercerita suka duka perjuangan membela #JusticeForZara. Bila saya tanya beliau tentang Almarhumah Zara.. jawapannya ringkas tapi sangat menusuk hati:
"Zara ni jaga solat.. bukan saja solat dia sendiri, tapi dia jaga solat kawan-kawan. Sebab itu dia mahu masuk BADAR (Badan Dakwah dan Rohani)," kongsi ibu Zara.

MasyaAllah..
Inilah yang Rasulullah ﷺ sudah pesankan lebih 1400 tahun lalu:
إِنَّ رَبَّكُمْ يَقُولُ: مَنْ أَقَامَ صَلَاةَ الخَمْسِ لِوَقْتِهَا وَحَافَظَ عَلَيْها وَلَمْ يُضَيِّعْهَا اسْتِخْفَافًا بِحَقِّهَا، فَلَهُ عَهْدٌ عَلَيَّ أَنْ أُدْخِلَهُ الجَنَّةَ، وَمَنْ لَمْ يُقِمْهَا لِوَقْتِهَا وَلَمْ يُحَافِظْ عَلَيْهَا وَضَيَّعَهَا اسْتِخْفَافًا بِحَقِّهَا، فَلَيْسَ لَهُ عِنْدِي عَهْدٌ، إِنْ شِئْتُ عَذَّبْتُهُ، وَإِنْ شِئْتُ غَفَرْتُ لَهُ
Maksud Hadis:
Rasulullah ﷺ bersabda:
"Sesungguhnya Tuhan kamu berfirman: Sesiapa yang mendirikan solat lima waktu pada waktunya, dan memeliharanya (menjaga dengan penuh perhatian) serta tidak meremehkannya, maka baginya ada janji daripada-Ku untuk memasukkannya ke dalam Syurga.
"Dan sesiapa yang tidak mendirikannya pada waktunya, tidak memeliharanya, serta meremehkannya, maka tiada baginya janji di sisi-Ku, jika Aku kehendaki, Aku akan mengazabnya; dan jika Aku kehendaki, Aku akan mengampunkannya."
"Makna يُحَافِظْ dalam bahasa Arab bukan sekadar "menjaga" untuk diri sendiri, tetapi saling menjaga. Huruf أ (alif) di tengah perkataan ini memberi maksud musyārakah (مشاركة) ertinya, secara ringkas ialah "saling" atau "berkongsi melakukan sesuatu bersama."
"Maksudnya, dalam hadith ini, konsepnya, bukan kita jaga solat kita saja, tetapi kita bantu orang lain menjaga solat mereka," ujar Marhamah.

Allahyarhamah Zara Qairina
Image via Media Sosial"Zara buat itu.. Dia hidupkan maksud يُحَافِظْ. Dia tegur, dia ajak, dia tulis nama kawan-kawan tidak solat dan dia bimbing kawan-kawannya"
Jelas Marhamah lagi, sebab itu dalam menjadi sebahagian daripada tim ibu Zara, dia sangat menitikberatkan nilai agama.
"Zara yang kita perjuangkan ini, seorang anak yang sangat menjaga agamanya. Maka kita yang dewasa, lebih-lebih lagi yang terlibat dalam perjuangan ini, seharusnya juga menjaga agama.. dengan menjauhi fitnah, berlebih-lebihan, mengadu domba dan elak kata-kata yang merosakkan.
"Hari ini, walau jasad beliau sudah pergi, dakwahnya masih hidup. Haruman kebaikan itu kekal. Dan Allah tunjukkan tanda.. jasadnya terpelihara seakan-akan baru pergi semalam.
"Saya tulis ini dengan niat, semoga apa saja kebaikan dan manfaat dari perkongsian ini, jadi pahala jariah berpanjangan buat Almarhumah Zara, ibu bapa beliau, saya yang miskin pahala ini dan semua yang mengambil iktibar dari kisah ini.
"Assalamualaikum Zara.. Kita jumpa lagi.."
"Inilah kata-kata pertama ibu Zara sewaktu pertama kali melihat wajah anak solehah ini dikeluarkan dari liang lahad. Allahu Akbar," kongsinya.
Pada 3 pagi 16 Julai lalu, Zara Qairina yang baru berusia 13 tahun ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolah agama tempatnya sebelum disahkan meninggal dunia ketika dirawat di hospital keesokannya.
Kematian pelajar Tingkatan Satu itu mencetuskan perhatian meluas susulan dakwaan berlaku insiden buli membabitkan pelajar senior di sekolah tersebut.


Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



