Anak Wajib Beri Nafkah Pada Ibu Bapa Uzur, Rang Undang-Undang Dibentang Mac 2026

Usaha ini untuk memastikan mahkamah syariah berbidang kuasa penuh menangani tuntutan kebajikan ibu bapa uzur.

Enlarge text
Logo

Follow kami di WhatsApp ChannelsTelegramInstagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.

Pindaan undang-undang terperinci berkaitan nafkah ibu bapa dijadualkan untuk dibentangkan di Dewan Rakyat pada Mac tahun hadapan

Menerusi laporan Berita Harian, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar, inisiatif ini bertujuan memastikan kewajipan anak menanggung nafkah ibu bapa uzur dapat dilaksanakan secara berkesan, terutamanya menjelang status Malaysia sebagai negara tua pada tahun 2030.

Beliau menambah, advokasi akan terus dijalankan sementara menunggu undang-undang Mahkamah Syariah dan Undang-Undang Keluarga Islam dimuktamadkan.

"Kerajaan MADANI melalui Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) sedang membuat pindaan undang-undang baharu Undang-undang Mahkamah Syariah dengan memasukkan punca kuasa jelas dan khusus berkaitan nafkah serta jagaan ibu bapa dalam undang-undang itu.

"Usaha ini bertujuan memastikan mahkamah syariah mempunyai bidang kuasa menangani tuntutan membabitkan kebajikan ibu bapa yang uzur atau tidak berupaya dengan lebih berkesan.

"Selain itu, Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) juga sedang melaksanakan semakan menyeluruh terhadap Undang-Undang Keluarga Islam 1984 termasuk menilai keperluan memperincikan peruntukan berkaitan nafkah ibu bapa supaya lebih selari dan responsif kepada keperluan masyarakat serta realiti semasa masyarakat Islam di negara ini," katanya pada Sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT)di Dewan Rakyat.

SAYS.com

Gambar sekadar hiasan.

Image via Utusan

Semakan membolehkan kerajaan menilai sama ada peruntukan nafkah ibu bapa sedia ada memadai

Mohd Na'im menyatakan kenyataan ini sebagai respons kepada soalan yang diajukan oleh Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading).

Soalan tersebut menyentuh langkah kerajaan untuk menambah baik peruntukan undang-undang keluarga Islam yang sedia ada, bertujuan mewajibkan pemberian nafkah oleh anak kepada ibu bapa yang uzur, tidak berpendapatan, atau tidak mampu menyara diri sendiri, selaras dengan tuntutan hukum syarak.

Beliau menjelaskan bahawa semakan menyeluruh sedang dijalankan untuk menilai sama ada peruntukan sedia ada sudah memadai atau memerlukan penelitian lanjut terhadap aspek nafkah ibu bapa dalam undang-undang keluarga Islam.

"Pada masa ini, penyediaan draft undang-undang itu sedang digerakkan secara aktif melalui proses penelitian perundangan dan membabitkan libat urus bersama pihak berkepentingan serta semakan teknikal bagi memastikan penggubalan itu benar-benar menepati keperluan masyarakat dan prinsip hukum syarak," katanya.

SAYS.com

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar.

Image via Bernama

Merujuk kepada mekanisme pelaksanaan JAKIM, beliau menyatakan penyelarasan ini melibatkan Jawatankuasa Perundangan Islam Kebangsaan (JPIK), Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI), dan Majlis Dialog Perundangan Islam Kebangsaan. Penyelarasan ini penting untuk memastikan model undang-undang persekutuan dapat diterima pakai oleh semua negeri.

"Hal ehwal Islam terletak di bawah bidang kuasa negeri menurut Perlembagaan Persekutuan. Namun dalam konteks penyelarasan, JAKIM berperanan merangka satu undang-undang model yang boleh dijadikan rujukan negeri-negeri bagi memastikan keseragaman pelaksanaan di seluruh negara.

"Namun proses ini mengambil masa, maka sementara menunggu pindaan dimuktamadkan, kerajaan laksana advokasi melalui kursus pra dan pasca perkahwinan, program pendidikan keluarga serta hebahan melalui TV Al-Hijrah dan IKIM bagi meningkatkan kesedaran tentang kewajiban anak menyara ibu bapa," katanya lagi.

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!

Image via SAYS Seismik
Read more trending stories on SAYS

You may be interested in: