Amir Masdi Berjaya Beli Rumah Impian Bernilai RM1 Juta Lepas 5 Tahun Menyimpan
Tahniah Amir Masdi!
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Penyanyi, Amir Masdi mencatat satu pencapaian besar pada tahun 2025 apabila berjaya memiliki hartanah pertamanya, sebuah rumah teres jenis superlink bernilai hampir RM1 juta
Menurut laporan Berita Harian, Amir atau nama sebenarnya Amir Syazwan Masdi, 30, menyifatkan pembelian berkenaan sebagai kejayaan terbesar dalam hidupnya sepanjang tahun lalu, hasil daripada disiplin menyimpan selama lima tahun.
Perjalanan untuk memiliki rumah bukanlah mudah. Walaupun mempunyai kewangan yang mencukupi, Amir pada awalnya berdepan kelewatan akibat ketiadaan rekod kredit.
"Ini antara pencapaian terbesar saya dan keluarga. Sebelum ini memang sasarkan untuk beli rumah, tetapi kekangan komitmen dan skor kredit menyebabkan hasrat itu tertangguh.
"Bank kata saya tidak ada komitmen langsung, jadi, saya perlu beli kereta terlebih dahulu bagi membina skor kredit. Jadi, selepas skor kredit cukup, barulah saya mula mencari rumah. Alhamdulillah, rezeki hadir pada 2025," katanya.

Artis pemenang anugerah itu memilih Puncak Alam sebagai aset hartanah pertamanya, dengan alasan suasananya yang lebih tenang berbanding kesibukan bandar
Amir turut menyatakan bahawa lokasi itu strategik kerana menawarkan akses mudah ke Damansara, tempat studio rakaman dan pejabatnya beroperasi.
Menariknya, penyanyi itu masih belum berpindah masuk ke rumah berkenaan. Buat masa ini, kediaman baharu itu berfungsi sebagai hab kreatif yang menempatkan peralatan studio, pakaian persembahan serta kelengkapan pejabat.

"Selagi saya belum kahwin, belum ada komitmen, saya hendak luangkan masa dengan keluarga di rumah. Sekurang-kurangnya saya sudah lock aset dan memiliki harta iaitu rumah sendiri," katanya.
Mengulas kepentingan memiliki aset sebagai seorang artis, Amir berkata perancangan kewangan adalah keperluan bagi semua kerjaya termasuk bidang seni.
Katanya, ramai tidak menyedari bahawa penggiat seni sebenarnya bekerja sendiri dan perlu merancang masa depan dalam jangka panjang.
"Kerjaya sebagai artis pula sebenarnya ibarat bekerja sendiri atau menjalankan perniagaan. Namun, ramai yang tidak sedar hakikat itu. Jadi, perancangan untuk 30 tahun hingga 50 tahun akan datang sebenarnya sudah perlu disusun dan dirancang dari sekarang," katanya lagi.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 