Along Tersilap Sasaran, Pelancong Singapura Disimbah Cat Merah Di Kedai Salon
Salon rambut itu dilaporkan mengalami kerugian sebanyak RM15,000 akibat kejadian tersebut.
Cover image via FacebookFollow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Suasana cemas tercetus di sebuah pusat beli-belah di Johor Bahru apabila dua lelaki dipercayai along bertindak nekad menyimbah cat merah ke arah sebuah salon
Kejadian tersebut telah mencederakan dua pelanggan dari Singapura yang berada di dalam premis berkenaan.
Menurut laporan China Press, kejadian berlaku pada Sabtu, 11 Oktober, apabila dua suspek bertopeng dilihat berlari masuk ke dalam salon sebelum menyimbah cat merah ke dinding dan peralatan kedai.
Ketika itu, kira-kira 10 individu termasuk empat pekerja berada di lokasi.
Seorang saksi dari Singapura yang turut menjadi mangsa berkata suasana bertukar kecoh sebaik cat merah mengenai tubuh mereka.
"Saya dengar orang menjerit, semua panik. Kakitangan pun nampak takut dan tak sempat buat apa-apa untuk halang suspek," katanya kepada China Press.
Menurutnya lagi, dia dan rakannya turut terkena simbahan cat pada rambut dan badan mereka.

Suspek dilaporkan melarikan diri sejurus selepas kejadian, meninggalkan suasana panik dan kerugian besar kepada pemilik premis
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, ACP Balveer Singh Mahindar Singh, mengesahkan insiden tersebut selepas menerima laporan polis daripada salah seorang pekerja salon pada hari sama kejadian berlaku.
Hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku sekitar 11.50 pagi, apabila dua suspek memasuki premis dan melemparkan beg plastik berisi cat merah ke arah dalam salon.
"Cat itu terpercik ke perabot dan pelanggan di dalam salon. Tiada kecederaan dilaporkan, namun anggaran kerugian dianggarkan sekitar RM15,000," katanya dalam satu kenyataan semalam, 12 Oktober.
Suspek dipercayai melarikan diri sebaik kejadian berlaku. Polis kini sedang mengenal pasti individu terbabit melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan menyeru orang awam menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan.


Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



