“Aksi Lumba Haram Undang Padah” – Orang Awam Jadi Mangsa, Kini Koma Di ICU
Difahamkan, pemandu Proton Satria itu kini telah ditahan pihak polis.
Cover image via @mgteo3 (TikTok)Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Akibat berlumba, sebuah Proton Satria yang dipandu remaja lelaki berusia 19 tahun terbabas dan terbalik sebelum merempuh sebuah Perodua Axia
Kejadian berlaku pada Ahad, sekitar 2.50 pagi di Jalan Persiaran Senawang 1, Negeri Sembilan.
Menerusi kenyataan di Facebook, Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, pemandu Proton Satria pula hanya cedera ringan dan kini direman dua hari bagi membantu siasatan kes terbabit.
"Siasatan awal mendapati, Proton Satria terbabit dalam perjalanan dari Senawang menghala ke Ampangan.
"Tiba di lokasi, sebuah kenderaan dikatakan brek mengejut menyebabkan pemandu Proton Satria mengelak ke pembahagi jalan," katanya.

Pemandu Proton Satria telah ditahan reman untuk siasatan lanjut
Difahamkan, Proton Satria berkenaan hilang kawalan lalu melanggar tiang lampu dan pokok, sebelum terjunam ke laluan bertentangan dan merempuh sebuah Perodua Axia yang dinaiki lima individu.
Akibat daripada kejadian itu, seorang penumpang Perodua Axia parah dan kini dirawat di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Tuanku Jaafar (HTJ).
"Pemandu kereta Proton Satria telah ditangkap dan dibawa ke Mahkamah Majistret Seremban untuk mendapatkan perintah reman," katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan saksi kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Nor Fadzilah Mohd Zainuddin di talian 019-4611794.




