AirAsia X Rasmi Tukar Nama Kepada AirAsia Mulai 19 Januari
Satu penjenamaan semula besar-besaran bakal dilaksanakan seiring dengan langkah AirAsia melangkah ke fasa baharu.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
AirAsia X Bhd bakal dijenamakan semula sebagai AirAsia pada 19 Januari ini
Ia selaras dengan langkah kumpulan syarikat penerbangan tersebut untuk memuktamadkan pelan penyusunan semula yang telah lama dijalankan.
Menurut pengasas yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Capital A Bhd, Tan Sri Tony Fernandes, langkah itu merupakan sebahagian daripada pelan untuk menyatukan semua perniagaan penerbangan di bawah satu kumpulan dan jenama tunggal.
"AirAsia akan menjadi satu kumpulan penerbangan dan satu jenama," kata Fernandes dalam satu hantaran di LinkedIn.
Beliau turut menambah bahawa penyatuan ini mencerminkan cita-cita global syarikat tersebut untuk terus berkembang maju.

Pada masa ini, AirAsia X mengendalikan sebahagian besar penerbangan jarak jauh, manakala operasi penerbangan jarak pendek pula diletakkan di bawah entiti yang berbeza
Setelah proses penyusunan semula ini selesai, semua operasi akan disatukan di bawah jenama AirAsia, sekali gus menjadikan pengurusan lebih ringkas dan lancar.
Pada hari yang sama penjenamaan semula itu berkuat kuasa, syarikat induk kumpulan, Capital A, akan memohon untuk keluar daripada status PN17 iaitu klasifikasi bagi syarikat yang mengalami masalah kewangan yang disandang sejak era pandemik.
Fernandes turut berkongsi bahawa AirAsia kini dalam proses memuktamadkan pesanan pesawat baharu yang dijangka mampu mengurangkan kos serta meningkatkan keuntungan syarikat.

Susulan daripada langkah ini, Capital A akan memberikan tumpuan sepenuhnya kepada perniagaan bukan penerbangan, seperti logistik, penyelenggaraan pesawat, makanan dan minuman, serta penjenamaan.
Kumpulan penerbangan itu juga mempunyai pelan pengembangan global dengan sasaran untuk mengukuhkan kedudukannya melangkaui pasaran Asia, termasuk ke Timur Tengah.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 