AirAsia Umum Polisi Baharu, Kru Kabin Wanita Kini Dibenarkan Berhijab
Siapa yang berhijab dan teringin nak jadi pramugari tu, inilah masanya!
Cover image via AirAsiaFollow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
AirAsia memperkenalkan satu pembaharuan penting dalam polisi pakaian seragam mereka apabila syarikat penerbangan tambang rendah itu kini membenarkan kru kabin wanita memilih untuk memakai hijab ketika bertugas
Ia merupakan satu langkah yang menandakan komitmen berterusan syarikat terhadap kepelbagaian, keterangkuman dan evolusi budaya kerja moden.
Menurut laporan Harian Metro, pengumuman tersebut dibuat oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Aviation Group, Bo Lingam, yang menyifatkan perubahan tersebut sebagai satu refleksi langsung terhadap nilai dan suara daripada warga kerja AirAsia sendiri.
"Seragam kami sentiasa mencerminkan profesionalisme, keselamatan dan keselesaan dan evolusi ini membina asas tersebut dengan memberikan keyakinan kepada kakitangan kami selaras dengan kepercayaan mereka," katanya.

Selaraskan polisi hijab ke seluruh rangkaian global
Sebelum ini, kru kabin AirAsia bertudung hanya dibenarkan di laluan tertentu seperti Jeddah, memandangkan ia sejajar dengan peraturan tempatan.
Namun, polisi baharu ini mengembangkan fleksibiliti tersebut kepada semua kru kabin wanita yang memilih untuk berhijab, tanpa mengira destinasi.
Ia sekali gus mengekalkan keseragaman visual jenama, sambil memberikan pilihan yang lebih inklusif kepada pekerja.


Ketua Kru Kabin Kumpulan AirAsia, Suhaila Hassan, menegaskan bahawa kepelbagaian latar belakang warga kerja yang dikenali sebagai Allstars adalah kekuatan yang telah lama membentuk budaya syarikat.
"Polisi terkini ini membuktikan semangat pelbagai dan dinamik yang menjadi identiti AirAsia. Kami akan terus menerima maklum balas daripada Allstars kami dan bekerjasama rapat dengan mereka dalam reka bentuk terperinci dan pelaksanaan sebelum ia dilaksanakan sepenuhnya.
Kami berharap untuk memulakan inisiatif ini pada bulan Ramadan 2026," katanya.
Tony Fernandes, Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, turut menekankan bahawa penghormatan terhadap kepercayaan dan pandangan pekerja merupakan salah satu faktor yang mendorong kejayaan AirAsia selama ini

"Apabila kru kabin kami mengetengahkan perkara ini kepada pihak pengurusan, adalah penting bagi kami untuk menilai.
"Menghormati pandangan dan kepercayaan yang berbeza bukan saja sebahagian daripada budaya kami, tetapi juga telah membentuk kejayaan kami sepanjang tahun.
"Inilah cara kami berkembang dengan berevolusi bersama berdasarkan pandangan daripada kakitangan kami," katanya.
Seragam merah AirAsia yang sinonim dengan jenama itu akan terus dikekalkan, namun dengan penambahan pilihan hijab dan seluar berpakaian profesional yang direka menggunakan konsep sama seperti kru yang bertugas di laluan Jeddah untuk menjamin keselesaan, keselamatan dan konsistensi jenama.
Lihat video di bawah:
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



