Air Paip Di Selangor Dijangka Boleh Terus Diminum Menjelang 2028 – Air Selangor
Pengguna juga memainkan peranan penting dalam memastikan air yang digunakan di rumah kekal bersih.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Air Selangor kini melaksanakan Pelan Yakini Air Kita 2028, sebuah inisiatif jangka panjang bagi memastikan rakyat menikmati bekalan air bersih yang selamat diminum terus dari paip
Menerusi laporan Media Selangor, Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor, Adam Saffian Ghazali, pelan yang sudah bermula sejak 2020 ini memberi tumpuan kepada penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk menjamin kualiti air kepada pengguna.
Beliau menjelaskan bahawa teknologi AI akan digunakan bagi memantau, menganalisis, serta meramal kualiti sumber air mentah dari sungai sebelum ia melalui proses rawatan di 34 loji rawatan air seluruh negeri.
"Teknologi ini dapat mengesan perubahan dalam parameter kualiti air termasuk kehadiran bahan cemar. Ia juga dapat mengesan perubahan kualiti air semasa yang memerlukan penyelesaian lebih efektif," katanya.

Gambar sekadar hiasan.
Image via CBN DealsTahap pematuhan kualiti air Air Selangor kini capai 99.94%
Adam Saffian Ghazali memberitahu pemantauan rapi dilakukan di 34 rangkaian sistem bekalan air setiap hari bagi memastikan tahap kualiti sentiasa terjaga.
Beliau turut menjelaskan bahawa kualiti air dinilai berdasarkan Indeks Kualiti Air Minum (DWQI) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Jika skor melebihi 80 mata, ia bermaksud air berada dalam kategori baik dan cemerlang.
"Pematuhan tahap kualiti air yang boleh diminum terus ini disasarkan kepada keseluruhan rangkaian bekalan air secara berperingkat menjelang 2028
"Selain itu, berdasarkan pencapaian Program Jaminan Mutu (QAP) yang dikelola oleh KKM, Selangor berada pada kedudukan tiga teratas bersama-sama Kuala Lumpur dan Putrajaya.
"Malah, Air Selangor mencatat pematuhan baik sepenuhnya terhadap lima parameter penting seperti E. coli, gabungan E. Coli dan baki klorin bebas, kekeruhan dan kandungan aluminium setakat Jun ini," katanya.

Setakat Mei 2025, Air Selangor telah mencatat tahap pematuhan kualiti air minum 99.94%.
Ia angka hampir sempurna yang membuktikan komitmen mereka dalam memastikan setiap titisan air yang sampai ke paip pengguna adalah bersih dan selamat diminum.
"Pencapaian ini adalah berdasarkan lebih 111,000 analisa ke atas sampel-sampel air terawat oleh KKM dan juga Air Selangor dari sistem agihan di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
"Ini menunjukkan tahap kualiti air yang dibekalkan kepada pengguna mencapai pematuhan tertinggi terhadap spesifikasi Piawaian Kualiti Air Minum Kebangsaan oleh KKM," katanya.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 