Air Kelapa Muda Tempatan Kini ‘Terbang Tinggi’, Jadi Minuman Dalam Penerbangan Batik Air
Wahh menarik ada air kelapa dalam flight!
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Air kelapa muda tempatan kini 'terbang tinggi' apabila berjaya disenaraikan sebagai antara minuman yang ditawarkan dalam semua penerbangan domestik dan antarabangsa Batik Air sejak Disember tahun lalu
Menurut laporan Berita Harian, minuman itu dihasilkan tanpa pengawet dan gula tambahan, serta bukan sahaja mendapat sambutan di pasaran tempatan, malah mula menarik perhatian pasaran antarabangsa.
Di sebalik kejayaan ini ialah anak muda tempatan, Navanith Pillay, 40, Ketua Pegawai Eksekutif Strategis NP Asia Sdn Bhd, yang berhasrat memartabatkan air kelapa Malaysia sebagai produk premium.
Namun, untuk menembusi industri penerbangan bukan perkara mudah kerana piawaian keselamatan dan kualiti yang ketat.

"Saya mengambil masa lama untuk memahami prosedur operasi standard (SOP) penerbangan. Selepas beberapa kali ujian dijalankan, akhirnya produk ini diluluskan," katanya.
Menurutnya, air kelapa sesuai untuk penumpang penerbangan kerana membantu hidrasi dan mengurangkan kesan 'jet lag'. Walaupun menerima permintaan dari luar negara, cabaran utama adalah mengekalkan kesegaran produk di luar Lembah Klang.
Ketika ini, produk tersebut sudah berjaya menembusi pasaran Singapura, sementara usaha penyelidikan dan pembangunan sedang dijalankan untuk pasaran antarabangsa
Menariknya, sisa hampas kelapa tidak dibuang, sebaliknya ia diproses menjadi baja dan dikembalikan ke ladang.
"Benih kelapa Malaysia antara yang terbaik di dunia dan turut ditanam di negara lain.
"Sebenarnya baka kelapa di Malaysia ini bolehlah dianggap sebagai petroleum juga, bernilai tinggi tetapi kurang dihargai," katanya.

Gambar sekadar hiasan.
Image via foodpandaImage viaBerkongsi latar belakang, Navanith berkata beliau bukan dari bidang pertanian, sebaliknya pernah menjadi penerbit buku sebelum pandemik COVID-19 mendorongnya beralih ke sektor pertanian dengan sokongan beberapa agensi kerajaan.
"Dengan bantuan benih percuma dari LPNM dan latihan teknikal yang diberikan, saya memulakan penanaman nanas. Sementara menunggu nanas matang, tercetus idea untuk menjual kelapa muda dari Kuala Selangor ke Lembah Klang.
"Ia bermula dengan 30 biji sehari, jualan meningkat kepada ratusan, kemudian ribuan biji sehari apabila restoran mula menjadi pelanggan tetap.
"Oleh kerana permintaan semakin meningkat, saya kemudian mencari sendiri ladang kelapa yang mampu membekalkan kelapa dalam jumlah banyak dan sehingga kini masih mendapat bekalan dari ladang berkenaan di Perak," katanya lagi.
Beliau mengakui cabaran terbesar adalah memastikan air kelapa asli tanpa pengawet kekal segar
"Air kelapa sangat sensitif dan jika suhu tidak betul menyebabkan ia lebih mudah rosak. Saya pernah rugi beribu ringgit, sejak itu saya belajar untuk memperbaiki mutunya bagi mengelak pembiakan bakteria," katanya.
Kini, kilang tersebut mampu menghasilkan antara 3,000 hingga 10,000 botol sehari, dengan kapasiti maksimum 20,000 botol, selain turut menghasilkan santan dan jus nanas.
Navanith turut menasihatkan anak muda yang ingin berniaga supaya fokus kepada satu produk, bina jaringan yang luas dan manfaatkan media sosial sepenuhnya.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 