Air Banjir Di Kelantan Kelihatan Jernih, Ini Punca Sebenarnya
Fenomena ini lebih dikenali sebagai banjir darat.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Situasi air keruh dan jernih setiap kali banjir melanda negeri ini sebenarnya perkara biasa dan tidak dianggap pelik oleh penduduk setempat
Fenomena ini sering berlaku kerana setiap sungai membawa sumber dan warna air yang berbeza bergantung kepada kawasan tadahan serta bentuk muka bumi yang dilalui.
Menerusi laporan Sinar Harian, kebiasaannya, banjir berair keruh berpunca daripada lembangan sungai utama di hulu Kelantan seperti Sungai Galas dan Sungai Lebir di Gua Musang, selain Sungai Kelantan yang menjadi laluan utama aliran air ke kawasan hilir.
Faktor tanah yang mudah terhakis, arus deras dari kawasan pergunungan, serta percampuran sedimen turut menyumbang kepada perbezaan warna air yang jelas kelihatan semasa banjir berlaku.

Banjir air jernih dapat dilihat setiap kali Sungai Golok melimpah
Sementara itu, air banjir yang kelihatan jernih pula lazimnya berpunca daripada hujan lebat dan sering berlaku di kawasan perumahan atau penempatan penduduk akibat masalah sistem perparitan.
Dalam kalangan penduduk Kelantan, fenomena ini lebih dikenali sebagai banjir darat, memandangkan ia berlaku secara tiba-tiba tanpa limpahan sungai utama.
Banjir berair jernih ini juga kerap dilaporkan apabila Sungai Golok melimpah masuk ke kawasan kampung di sekitar Tumpat, Rantau Panjang dan Tanah Merah, iaitu kawasan yang bersempadan dengan Thailand.
Menurut Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kelantan, Leftenan Kolonel (PA) Mohd Farid Ishak, air banjir jernih biasanya menandakan bahawa ia merupakan air hujan yang berkumpul dengan cepat.
Katanya, banjir jenis ini berlaku akibat hujan lebat berterusan di kawasan tersebut atau flash flood.
"Setakat ini belum ada limpahan sungai-sungai utama dilaporkan dan paras air berada dalam keadaan normal kecuali Sungai Golok dan Semerak pada paras berjaga-jaga," katanya.

Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kelantan, Leftenan Kolonel (PA) Mohd Farid Ishak.
Image via Sinar HarianDalam perkembangan lain, jumlah mangsa banjir di seluruh negara terus meningkat kepada 13,751 orang setakat jam 5 petang Isnin, membabitkan lapan negeri yang masih terjejas.
Menurut laporan terkini Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Kelantan kekal mencatat jumlah mangsa tertinggi dengan 9,679 orang ditempatkan di 39 pusat pemindahan sementara (PPS), melibatkan daerah Tumpat, Bachok, Kota Bharu dan Pasir Puteh.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan turut memaklumkan bahawa keadaan masih terkawal, namun pemantauan rapi diteruskan susulan ramalan hujan berterusan di beberapa kawasan.

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 