Adik Jojo, Miki Ghazali Hadiahkan Emas Muay Thai Buat Malaysia Pada Usia 16 Tahun
Tahniah Jojo!
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Nama keluarga Ghazali sekali lagi menjadi sebutan apabila sensasi muda muay thai negara, Muhammad Mikail Ghazali Zulfikar, menghadiahkan pingat emas buat Malaysia di Sukan SEA Thailand

Menurut laporan Harian Metro, lebih dikenali sebagai Miki, atlet berusia 16 tahun itu berjaya menepati ramalan apabila menewaskan petarung tuan rumah, Sirilun Suphakon, dengan keputusan tipis 29-28 dalam aksi final kategori bawah 55 kilogram (kg) yang berlangsung di Stadium Tinju Lumpinee.
Walaupun beraksi di gelanggang lawan dan berdepan tekanan hebat sorakan penyokong Thailand, Miki kekal tenang apabila menguasai dua pusingan pertama, sebelum mengekalkan konsistensi sehingga tamat perlawanan meskipun lawannya cuba bangkit pada pusingan ketiga.
Kemenangan itu bertambah manis apabila disaksikan dan dibimbing oleh abangnya sendiri, Johan Ghazali, atau lebih dikenali sebagai Jojo, yang juga bintang ONE Championship dan bertindak sebagai 'jurulatih' di tepi gelanggang

Mengulas kejayaan tersebut, Miki mengakui tidak dapat menyembunyikan rasa sebak selepas dinobatkan sebagai pemenang.
"Saya tak kisah sangat semua itu. Kalau abang naik popular, Miki tak kisah pun. Alhamdulillah, semua sama-sama naik.
"Siapa yang tak menangis lepas menang emas Sukan SEA. Lagi-lagi saya baru 16 tahun. Syukur Alhamdulillah," katanya.
Sementara itu, Jojo menyifatkan kejayaan adiknya sebagai hasil ketenangan dan disiplin tinggi sepanjang perlawanan.
"Bila seorang daripada keluarga masuk gelanggang, kita semua masuk gelanggang. Kalah menang sama-sama, naik turun sama-sama.
"Hari ini Miki buktikan dia mampu. Walaupun stadium bingit dengan sorakan penyokong tuan rumah, dia kekal tenang ikut perancangan," katanya lagi.
Malaysia tambah dua lagi emas muay thai
Selain Miki, Malaysia turut meraih dua lagi pingat emas muay thai menerusi Wassof Rumijam dan Yan Jia Chi.
Wassof, 22, berjaya mendiamkan sorakan penyokong tuan rumah selepas menewaskan wira Thailand, Thongchai Huanak, dengan keputusan 29-28 dalam final kategori bawah 54kg.
Menurut Wassof, kemenangan itu hadir hasil strategi pertahanan yang kemas.
"Saya memang layak untuk menang sebab seperti saya cakap, setiap pukulan saya halang dan di situ tiada mata untuk lawan," katanya.
Dalam pada itu, ratu muay thai negara, Yan Jia Chi atau lebih dikenali sebagai Angie, turut menyumbang emas menerusi acara wai kru selepas menewaskan juara dunia Thailand, Thongduang Thanawan.
Angie memikat hati lima juri dengan markah 9.33 mata, mengatasi Thanawan yang mengutip 9.20 mata, sekali gus memaksa wakil tuan rumah berpuas hati dengan pingat perak.
Secara keseluruhan, skuad muay thai Malaysia menamatkan kempen Sukan SEA Thailand dengan tiga pingat emas dan tiga perak, sekali gus mengukuhkan reputasi negara sebagai antara kuasa besar muay thai di rantau ini.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 