Adik Hilangkan 1 Juta Point Roblox Dalam Game Jadi Punca Dikelar Oleh Abang Sendiri
Difahamkan, siasatan mendapati kanak-kanak berkenaan terlalu obses bermain permainan tersebut sehingga berjaya mengumpul kira-kira satu juta 'point' di dalam akaunnya.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Polis tidak menolak kemungkinan permainan dalam talian popular menjadi punca utama kejadian tragis yang menimpa seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun di Batu Pahat, Johor baru-baru ini
Menurut laporan Harian Metro, Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, kejadian berlaku di Kampung Parit Nipah Laut, Parit Raja pada Isnin lalu, apabila mangsa ditemui dalam keadaan parah dengan kesan kelar di leher serta luka tikaman pada badan.
Menurut beliau, hasil siasatan awal mendapati kecederaan itu dipercayai dilakukan oleh abang mangsa sendiri yang berusia sembilan tahun.
"Bagaimanapun motif kejadian masih lagi dalam siasatan. Tetapi ianya ada berkemungkinan ada kaitan di mana abang mangsa mempunyai satu aplikasi permainan di dalam telefon pintarnya," katanya.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad
Image via Kosmo!Siasatan mendapati kanak-kanak berkenaan terlalu obses bermain permainan tersebut sehingga berjaya mengumpul kira-kira satu juta 'point' di dalam akaunnya
Namun begitu, difahamkan adiknya secara tidak sengaja telah merosakkan telefon pintar yang digunakan sehingga menyebabkan semua 'point' yang dikumpul hilang.
"Daripada siasatan awal, hasil soal siasat yang dibuat abang mangsa mungkin kesan daripada permainan video game, dia mengalami macam halunisasi waktu malam dan seolah-olah disuruh untuk mencederakan ahli keluarganya.
"Dipercayai abang mangsa mengambil sebilah pisau yang ada dalam rumah itu dan telah mencederakan adiknya sendiri tetapi apa-apa pun dalam hal ini kita masih menjalankan siasatan lanjut," katanya lagi.

Mangsa kini dirawat di Hospital Batu Pahat dan dilaporkan stabil
Namun, pihak polis masih belum dapat merakamkan kenyataannya kerana dia belum pulih sepenuhnya.
Mangsa dan abangnya kini ditempatkan di bawah pengawasan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memandangkan mereka masih di bawah umur.
Sementara itu, ibu bapa mereka yang merupakan pasangan suami isteri berusia 41 tahun turut direman selama dua hari bagi membantu siasatan.
Perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Nurasidah A Rahman di Mahkamah Majistret Batu Pahat bagi membolehkan polis menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Datuk Ab Rahaman berkata, kertas siasatan telah dirujuk kepada Penasihat Undang-Undang Negeri Johor untuk tindakan selanjutnya.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 