9 Warga India Ditahan Di KLIA2, Gagal Menyamar Selepas Tukar Pakaian Di Kawasan Transit
Difahamkan, mereka cuba menyusup masuk ke dalam barisan pemeriksaan imigresen seolah-olah baru tiba dari luar negara.
Cover image via BERNAMAFollow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Sembilan warga India termasuk lapan lelaki dan seorang wanita ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 2 (KLIA2) semalam selepas cubaan mereka untuk menyamar sebagai penumpang baharu gagal dikesan pihak berkuasa
Menurut laporan Kosmo!, Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) memaklumkan kesemua individu terbabit dipercayai cuba mengelak pemeriksaan lanjut oleh pihak Imigresen dengan menukar pakaian di kawasan transit bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
Mereka kemudian cuba menyusup masuk semula ke dalam barisan pemeriksaan imigresen seolah-olah baru tiba dari luar negara.
Namun, tindakan mencurigakan mereka berjaya dipatahkan hasil pemantauan rapi dan kecekapan pasukan AKPS yang menjalankan rondaan rutin di kawasan transit.
"Bagaimanapun, tindakan pantas pasukan pemantau berjaya menahan kesemua suspek sebelum sempat melepasi kawalan kaunter masuk imigresen.
"Hasil pemeriksaan terhadap 270 warga asing, 13 individu telah ditahan dan ditolak masuk ke negara asal masing-masing melibatkan sembilan warga India dan empat lelaki warga Pakistan," katanya.

Berikutan insiden tersebut, AKPS KLIA telah mengumumkan beberapa langkah proaktif bagi memastikan kejadian serupa tidak berulang.
Antara langkah-langkah yang akan diambil termasuk:
– Memperketat kawalan di kawasan transit
– Meningkatkan rondaan pasukan penguat kuasa
– Memperluas penggunaan sistem televisyen litar tertutup (CCTV)
– Melaksanakan prosedur pengesanan identiti yang lebih ketat
Dalam masa yang sama, pihak AKPS turut menyeru semua warga kerja KLIA termasuk kakitangan operasi dan pengendali penerbangan agar segera melaporkan sebarang tingkah laku atau pergerakan mencurigakan, terutamanya yang melibatkan penumpang warga asing.
"Sokongan dan kewaspadaan bersama amat penting bagi memastikan keselamatan serta integriti pintu masuk negara terus terpelihara," jelasnya.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



