9 Senarai Semak Sebelum Balik Kampung Atau Bercuti – “Penting, Baca Sampai Habis!”
Keselamatan kediaman yang ditinggalkan amatlah penting.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Ramadan hampir berakhir dan ramai bakal pulang ke kampung untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri
Sudah semestinya ramai akan pulang dan telah pun mengambil cuti panjang untuk berjumpa keluarga dan sanak saudara.
Namun, keselamatan sebelum pulang atau pergi ke mana-mana harus dijaga dan perlu ada senarai semak supaya persiapan lebih teratur.
Ini 9 senarai semak perlu dibuat sebelum pulang ke kampung halaman:
1. Tutup lampu & peralatan elektrik

Pastikan anda menutup sepenuhnya semua lampu, kipas, penghawa dingin, televisyen, mesin penapis air dan peranti elektrik lain serta tidak dibiarkan terpasang.
Perlu dipesan jangan menutup suis peti ais pula.
Sedikit tip tambahan, masukkan duit syiling di dalam peti ais dan sekiranya selepas anda pulang, duit syiling itu berada di bahagian bawah ais ia bermakna rumah anda pernah berlaku gangguan bekalan elektrik yang agak panjang.
Ini bermakna makanan-makanan di dalam peti ais berkemungkinan besar tidak selamat untuk dimakan.
2. Cabut plug peralatan yang tidak digunakan

Cabut plug peralatan elektrik seperti seterika, pengecas dan pembakar roti bagi mengelakkan risiko bahaya elektrik yang boleh menyebabkan kebakaran.
3. Pastikan dapur & bekalan gas ditutup

Pastikan dapur telah dimatikan sepenuhnya dan bekalan gas ditutup atau dicabut dengan selamat daripada tong gas.
Ini adalah untuk memastikan tiada kebocoran gas berlaku di dalam rumah.
4. Tutup pili dan sumber air dengan sempurna

Elakkan kebocoran dan pembaziran air dengan memastikan bilik air serta dapur telah ditutup sumber airnya.
Untuk kelaziman dalam rumah, akan terdapat satu pili di dinding untuk anda tutup saluran air.
5. Kunci pintu, tingkap & pagar

Gambar sekadar hiasan
Image via MHS Global ResourcesPastikan pintu hadapan, tingkap dan semua pintu masuk yang lain berada dalam keadaan selamat dan terkunci.
Kita tidak mahu kejadian tidak diingini berlaku atau pintu rumah anda secara kebetulan dibiarkan terbuka ketika anda pulang ke kampung untuk masa yang lama.
6. Bawa semua barang & dokumen penting

Bawa bersama anda barang keperluan seperti telefon, dompet, kunci, beg dan semua dokumen penting.
Dokumen yang penting seperti sijil kelahiran, transkrip universiti, pasport dan dokumen penting lain hendaklah bersama anda ke dalam satu fail.
Telah terjadi beberapa kes seperti bencana alam atau kebakaran yang merosakkan dokumen-dokumen penting hanya kerana orang itu tidak membawa bersama dokumen tersebut kerana ditinggalkan di rumah.
7. Beri makan haiwan peliharaan anda

Perkara ini penting jika anda mempunyai haiwan peliharaan.
Pastikan mereka diberi makan dan tidak terkunci di luar atau di dalam rumah.
Untuk lebih mudah, buat kucing dan anjing terdapat beberapa 'hotel haiwan' yang memberi kemudahan untuk anda tinggalkan haiwan peliharaan kesayangan anda.
Terdapat juga beberapa individu yang menawarkan servis menjaga haiwan peliharaan ketika anda bercuti atau pulang ke kampung.
Bagi penggemar ikan hiasan pula, anda boleh membeli 'pemberi makanan automatik' yang boleh ditetapkan kekerapan pemberian makanan untuk ikan-ikan dan memastikan pam air berfungsi dengan baik.
8. Maklumkan kepada jiran yang dipercayai

Tidak semua orang akan balik kampung atau pergi bercuti untuk masa yang lama.
Maklum dan beritahu jiran supaya mereka dapat memantau rumah anda sekiranya berlaku sebarang kejadian.
9. Maklumkan kepada pegawai polis

Bagi setiap perayaan, sebenarnya terdapat beberapa anggota polis yang sudah ditugaskan untuk meronda di taman perumahan untuk memastikan keselamatan tempat tinggal anda.
Orang ramai juga boleh mendaftar di aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) untuk maklumkan ketiadaan anda di rumah.
Pihak polis akan melakukan rondaan berkala di kawasan rumah anda dengan maklumat yang diterima daripada aplikasi ini dengan memilih menu 'Balik Kampung'.
Anda boleh muat turun VSP di Google Play Store dan App Store.
Oleh itu, sebelum pulang, pastikan anda mementingkan keselamatan diri sendiri, keluarga dan juga orang ramai.
Bagi yang memandu, anda juga perlu mematuhi segala peraturan jalan dan paling penting tidak lupa untuk bagi 'signal' ketika di lebuh raya. Biar lambat asalkan selamat.
Selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri!
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 