300,000 Orang Sertai ‘March For Humanity’ Di Sydney, Desak Bantuan Segera Untuk Gaza
March for Humanity itu disertai pelbagai lapisan masyarakat yang terdiri daripada warga emas, keluarga bersama anak kecil.

Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Sekitar 300,000 penunjuk perasaan membanjiri Jambatan Sydney Harbour semalam bagi menyatakan solidariti terhadap rakyat Gaza yang kini berdepan krisis kemanusiaan semakin meruncing
Menerusi video dan beberapa gambar yang tular di media sosial, perarakan aman yang dinamakan March for Humanity itu disertai pelbagai lapisan masyarakat yang terdiri daripada warga emas, keluarga bersama anak kecil, sehinggalah tokoh hak asasi manusia.
Ramai peserta dilihat membawa periuk dan kuali sebagai simbol kebuluran yang melanda Gaza, di mana menurut pihak berkuasa Palestin, konflik hampir dua tahun itu telah meragut lebih 60,000 nyawa.

Keadaan semakin kritikal dengan kekurangan bekalan makanan, fasiliti kesihatan yang terhad, dan serangan berterusan yang memaksa rakyat Gaza berdepan kelaparan.
Sepanjang perarakan, peserta melaungkan slogan "Kita Semua Palestin" sambil mengibarkan bendera Palestin dan berlindung di bawah payung sebagai tanda sokongan terhadap penduduk yang menderita di wilayah itu.
Tekanan antarabangsa terhadap Israel meningkat
Beberapa negara termasuk Perancis dan Kanada baru-baru ini mengumumkan pengiktirafan terhadap negara Palestin. Britain pula menyatakan kesediaan untuk mengambil langkah sama sekiranya Israel melaksanakan gencatan senjata dan menangani krisis kemanusiaan.
Bagaimanapun, Israel menyifatkan pengiktirafan ini sebagai 'ganjaran kepada Hamas' serta menafikan tuduhan bahawa mereka menghalang bantuan kemanusiaan. Sebaliknya, mereka mendakwa Hamas mencuri bantuan yang dihantar.


Konflik ini bermula pada 7 Oktober 2023 apabila Hamas menyerang selatan Israel, mengorbankan lebih 1,200 nyawa dan menawan 251 tebusan.
Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese, berkata tindakan Israel menafikan bantuan serta membunuh orang awam tidak boleh dipertahankan atau diabaikan.
Beliau menegaskan Australia menyokong penyelesaian dua negara, namun setakat ini, negara itu masih belum mengiktiraf Palestin secara rasmi.
View on Threads
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



