30 Tahun Jadi ‘Hoarder’, MBJB Angkut 32 Tan Sampah Dari Rumah Warga Emas Di Johor
Tak boleh bayang bau sampah dekat kawasan tu macam mana.
Cover image via Omar Ahmad/New Straits TimesFollow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Tabiat mengumpul barang seorang warga emas akhirnya sampai ke penghujung bila pihak berkuasa terpaksa keluarkan lebih 32,000kg sampah dari rumah dua tingkatnya di Taman Sentosa, Johor Bahru
Menurut laporan New Straits Times, operasi besar-besaran itu dijalankan oleh Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) pada Ahad, 27 Julai lalu.
Operasi tersebut melibatkan seramai 35 anggota MBJB bersama polis dan syarikat pengurusan sisa pepejal, SWM Environment.
Rumah jadi tapak pelupusan sampah, jiran hidup bertahun dengan bau busuk dan haiwan perosak

Bayangkan rumah penuh dengan lipas, tikus, malah ada juga ular merayap masuk gara-gara warga emas tersebut menyimpan sampah bertimbun selama berpuluh tahun.
Ahli majlis MBJB, Sally Ng, berkata keadaan rumah tersebut memang mengejutkan.
"Jirannya beritahu kami dia tidak tinggal di dalam rumah selama bertahun-tahun. Dia tidur di lorong belakang kerana sampah telah ambil alih setiap inci ruang termasuk garaj, yang menimbus sepenuhnya keretanya," katanya.
Semasa membersihkan rumah tersebut, mereka menjumpai sarang anai-anai, periuk nasi berkarat, perabot rosak, pinggan mangkuk pecah, ribuan tin dan botol kosong.
MBJB menyifatkan ia sebagai salah satu kes hoarding paling teruk yang pernah berlaku di daerah itu
Menurut Ng lagi, sebelum ini sudah ada usaha untuk bersihkan rumah itu tapi lelaki berusia 70-an berkenaan enggan memberi kerjasama.
Garaj rumahnya pernah dibersihkan sekali, tetapi tak lama selepas itu penuh balik dengan sampah.
Lelaki itu yang merupakan bekas guru mendakwa 'koleksinya' bernilai RM8,000, terutama besi buruk. Namun selepas dikira, sukarelawan hanya berjaya mendapat barang kitar semula bernilai lebih kurang RM1,000 sahaja dan diberikan kepadanya atas dasar ihsan.
"Dia masih kata sampah tu lebih bernilai, tapi sebenarnya semuanya dah rosak, reput dan berkarat.
"Kalau dibiarkan, keadaan ini akan berulang. Kami harap kali ini dia setuju terima rawatan dan sokongan yang sepatutnya," katanya lagi.
Difahamkan, lelaki itu sudah lama terpisah dengan keluarga. Isterinya yang berasal dari Taiwan pulang ke negara asal bertahun lalu, manakala tiga anak lelakinya yang kini tinggal di Singapura dikatakan tidak lagi berhubung dengannya kerana perangai hoardernya itu.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



