3 Rakyat Malaysia Tersenarai Antara Changemakers Muda Terbaik Komanwel 2026
Hebat anak muda!
Cover image via FMTFollow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Tiga rakyat Malaysia berjaya mengharumkan nama negara apabila dipilih menerima Queen Elizabeth II Commonwealth Trust Young Leaders Award 2026 atas usaha mereka membawa perubahan sosial yang bermakna
Mereka ialah Sarah Callista Ng, Arissa Jemaima Ikram dan Ho Wei Liang.
Ketiga-tiga anak muda itu dipilih daripada ribuan pencalonan melibatkan 56 negara Komanwel, dengan hanya 100 penerima berusia antara 18 hingga 35 tahun menerima pengiktirafan berprestij tersebut.
Menurut laporan FMT, anugerah itu diwujudkan sempena ulang tahun ke-100 kelahiran Queen Elizabeth II dan mengiktiraf golongan muda yang mencetus perubahan dalam bidang pendidikan, kesihatan, kelestarian dan keterangkuman sosial.

Sarah, 19, merupakan pengasas Hope2Kids, sebuah organisasi bukan keuntungan yang membantu kanak-kanak kurang bernasib baik
Beliau juga mengetuai inisiatif "Letters of Hope" yang menggerakkan sukarelawan dari lebih 11 negara untuk menghantar surat semangat kepada kanak-kanak.
Arissa pula mengetuai Doctors on Ground, organisasi kesihatan komuniti yang memberi fokus kepada akses penjagaan kesihatan yang lebih mampan. Sejak 2020, beliau telah memimpin lebih 300 misi dan inisiatif berkaitan sistem kesihatan akar umbi.
Sementara itu, Ho Wei Liang aktif dalam bidang kecerdasan buatan (AI), kelestarian alam sekitar dan pendidikan STEM. Beliau juga merupakan ahli lembaga Global Youth AI Advisory Body dan pernah menyumbang pandangan kepada United Nations mengenai tadbir urus AI.



Majlis penyampaian anugerah dijadual berlangsung di St James's Palace bulan depan. Ho dan Sarah dijangka hadir, manakala Arissa tidak dapat menyertainya kerana sedang melanjutkan pengajian sarjana dalam bidang kesihatan awam global dan keadilan sosial.
Ketiga-tiga mereka berharap pengiktirafan itu dapat menjadi inspirasi kepada lebih ramai anak muda Malaysia untuk percaya bahawa perubahan besar boleh bermula melalui tindakan kecil yang konsisten dalam komuniti sendiri.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



