28 Kanak-Kanak Palestin Terbunuh Setiap Hari Di Gaza – “Lebih 18,000 Nyawa Muda Terkorban”
Sehingga kini, seramai 188 orang termasuk 94 kanak-kanak meninggal dunia akibat kekurangan makanan.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Situasi di Gaza semakin meruncing apabila Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendedahkan bahawa seramai 28 kanak-kanak Palestin terbunuh setiap hari akibat serangan Israel dan sekatan terhadap bantuan kemanusiaan
Menurut laporan Al Jazeera, Tabung Kanak-Kanak PBB (UNICEF) berkata, sejak serangan yang disifatkan sebagai pembunuhan beramai-ramai oleh Israel bermula, lebih 18,000 kanak-kanak telah terbunuh, bersamaan seorang kanak-kanak setiap jam.
"Mereka mati dibom. Mereka mati kelaparan. Mereka mati kerana kekurangan bantuan dan perkhidmatan asas," kata UNICEF dalam satu hantaran di X.
Agensi itu turut menyatakan bahawa kanak-kanak di Gaza amat memerlukan makanan, air bersih, ubat-ubatan dan perlindungan. Namun lebih daripada itu, mereka perlukan gencatan senjata, sekarang juga.
Dalam tempoh 24 jam yang lalu, lapan rakyat Palestin termasuk seorang kanak-kanak meninggal dunia akibat kebuluran
Sehingga kini, seramai 188 orang termasuk 94 kanak-kanak meninggal dunia akibat kekurangan makanan apabila Israel terus menyekat bantuan dan menyerang mereka yang cuba mendapatkan bantuan.
"Bagi yang masih hidup, zaman kanak-kanak telah digantikan dengan perjuangan harian untuk meneruskan hidup," lapor wartawan Al Jazeera, Aksel Zaimovic.

Kisah tragis turut dikongsi Kadim Khufu Basim, seorang kanak-kanak Palestin yang kehilangan zaman kanak-kanaknya sejak perang bermula. Disebabkan ayahnya cedera dan sedang dirawat di Mesir, Basim kini perlu menanggung keluarga seramai enam orang.
"Saya suka main bola. Tapi sekarang saya jual biskut. Zaman kanak-kanak saya dah hilang," katanya.
Di bawah undang-undang antarabangsa, kanak-kanak seperti Basim sepatutnya dilindungi daripada kesan peperangan. Namun di Gaza, mereka adalah golongan yang paling menderita.
"Sekolah disasarkan. Kemudahan air dimusnahkan. Bekalan makanan disekat secara sistematik. Hak asasi kanak-kanak — pendidikan, permainan, pemakanan — telah dijadikan senjata terhadap satu generasi," jelas Zaimovic lagi.
Sejak 2 Mac 2025, Israel menutup semua pintu masuk ke Gaza dan hanya membenarkan 86 buah trak bantuan masuk setiap hari, iaitu hanya 14% daripada keperluan minimum 600 trak sehari untuk memenuhi keperluan asas penduduk

Situasi tersebut telah menyebabkan krisis kebuluran terbesar dalam sejarah Gaza.
Susulan keadaan itu, lebih 150 organisasi kemanusiaan bersama pakar PBB menyeru gencatan senjata kekal bagi membolehkan penghantaran bantuan dan pemulihan trauma untuk generasi yang mereka labelkan sebagai 'generasi yang hilang'.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 