20 Subjek UiTM Tersenarai Dalam QS World University Rankings by Subject 2026
UiTM juga menunjukkan prestasi yang kukuh dan konsisten dalam beberapa subjek utama.

Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Pencapaian akademik Universiti Teknologi MARA (UiTM) terus menunjukkan momentum positif apabila institusi tersebut berjaya menempatkan 20 subjek dalam laporan terbaharu QS World University Rankings (WUR) by Subject 2026
Menurut laporan, penilaian tahun ini menyaksikan persaingan yang cukup sengit dengan penglibatan 1,908 institusi pendidikan dari seluruh pelosok dunia, termasuk kehadiran 161 universiti yang baru pertama kali menyertai senarai berprestij tersebut.
Kejayaan paling signifikan buat UiTM pada edisi kali ini adalah keberhasilannya menembusi kesemua lima bidang utama yang dinilai. Pencapaian ini dilengkapkan melalui kemasukan sulung bidang Sains Tulen yang berada pada kedudukan 451–500.
Dengan perkembangan ini, UiTM secara rasminya telah menerima pengiktirafan global bagi setiap disiplin utama yang ditawarkan di universiti berkenaan.
Selain kemasukan bidang baharu, beberapa disiplin sedia ada turut mempamerkan lonjakan kedudukan yang amat memberangsangkan. Bidang Seni dan Kemanusiaan mencatatkan kenaikan mendadak ke tangga 344 berbanding kelompok 401–450 sebelum ini.
Kecemerlangan tersebut turut diikuti oleh bidang Sains Sosial dan Pengurusan yang menduduki tangga ke-362, serta Kejuruteraan dan Teknologi di kedudukan ke-383. Sementara itu, bidang Sains Hayat dan Perubatan kekal kompetitif dengan mengekalkan kedudukannya dalam julat 501–550.

Gambar sekadar hiasan.
Image via New Straits TimesTujuh subjek mencatatkan peningkatan kedudukan
Peningkatan prestasi UiTM dalam QS World University Rankings (WUR) by Subject 2026 turut diperkukuh dengan lonjakan kedudukan tujuh subjek utama, iaitu Seni dan Reka Bentuk (101-150), Farmasi dan Farmakologi (201-250), serta Sains Bahan, Kejuruteraan Kimia, dan Kejuruteraan Mekanikal, Aeronautik dan Pembuatan yang masing-masing berada dalam kelompok 351-400.
Subjek Perubatan dan Kimia turut mencatatkan kenaikan ke tangga 451-500, sekali gus menyerlahkan peningkatan kualiti akademik, kebolehpasaran graduan, serta impak penyelidikan universiti tersebut.
Kecemerlangan tahun ini turut dimeriahkan dengan penyertaan dua subjek baharu dalam penarafan global, iaitu Sains Sekitaran (501–550) dan Sains Biologi (651–700).
UiTM juga terus mempamerkan konsistensi yang teguh apabila subjek Kejuruteraan Petroleum berjaya mengekalkan kedudukannya dalam kelompok 150 terbaik dunia selama enam tahun berturut-turut sejak 2021, sekali gus membuktikan kekuatan inovasi universiti dalam bidang berkenaan.

Gambar sekadar hiasan.
Image via BernamaSelain itu, beberapa subjek lain turut berjaya mengekalkan kedudukan mereka, termasuk Pengajian Perniagaan dan Pengurusan, Ekonomi dan Ekonometrik, Pendidikan, Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Sains Komputer dan Sistem Maklumat, serta Matematik.
Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Ts. Dr. Shahrin bin Sahib @ Sahibuddin, menyifatkan pengiktirafan ini sebagai satu pencapaian yang sangat bermakna dan selari dengan semangat kesyukuran serta perpaduan sempena sambutan Syawal.
Menurut beliau, kejayaan ini adalah hasil dedikasi berterusan warga UiTM dalam memacu kecemerlangan akademik. Sejajar dengan visi UiTM2030, universiti berkenaan komited untuk terus memperkukuh kedudukan di peringkat global dan melahirkan generasi profesional bumiputera yang mempunyai daya saing tinggi.

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



