2 Pelajar Malaysia Terpilih Sertai Program Saintis Muda Dunia Di Geneva, Switzerland
Program ini memberi peluang kepada saintis muda negara untuk merasai pengalaman penyelidikan.
Cover image via Akademi Sains Malaysia (Facebook)Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Dua pelajar Malaysia, Felicia Houng Teen Teen dan Muhammad Aiman Zulkipli, mencatat pencapaian membanggakan
Difahamkan, mereka terpilih menyertai Program Pelajar Musim Panas CERN (CSSP) di Geneva, Switzerland bersama 150 saintis muda dari seluruh dunia, bermula Jun hingga Ogos tahun ini.
Menerusi laporan Bernama, program berprestij anjuran Pertubuhan Penyelidikan Nuklear Eropah (CERN) ini memberi peluang eksklusif kepada peserta untuk terlibat secara langsung dalam penyelidikan fizik zarah, di samping bekerjasama dengan pasukan penyelidik ternama di peringkat antarabangsa.

Bangunan Science Gateway di pintu masuk Pertubuhan Penyelidikan Nuklear Eropah (CERN) di Meyrin berhampiran Geneva.
Image via AFPTak sangka impian sertai program itu akhirnya jadi kenyataan
Houng, 28, yang kini mengikuti pengajian Sarjana Sains (Sains Nuklear) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, peluang keemasan menyertai program di CERN ini bukan sekadar pencapaian peribadi.
Tetapi juga langkah penting untuk memperkasa bidang penyelidikan nuklear tanah air.
"Berada di CERN dan bekerja bersama minda paling cemerlang di dunia merupakan satu pengalaman luar biasa. Sebagai pelajar fizik, ini adalah tempat paling menginspirasikan.
"Saya berharap program seperti ini menyuntik semangat kepada generasi muda Malaysia untuk berani bermimpi dan cemerlang dalam bidang sains," katanya.

Felicia Houng Teen Teen.
Image via Akademi Sains Malaysia (Facebook)Manakala bagi Muhammad Aiman, 21, yang mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Kepujian dalam Fizik Teoritikal di Lancaster University, United Kingdom, berkata beliau tidak menyangka impian untuk menyertai program itu akhirnya menjadi kenyataan.
"Mewakili Malaysia dalam CSSP ialah satu penghormatan luar biasa. Beberapa tahun lepas, peluang ini terasa seperti mimpi yang sukar dicapai.
"Di sini, saya bukan sahaja dapat bekerja bersama pakar dari seluruh dunia, tetapi juga memahami teknologi dan eksperimen terkini dalam fizik zarah," katanya.

Muhammad Aiman Zulkipli.
Image via Akademi Sains Malaysia (Facebook)Sejak tahun 2012, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bersama Akademi Sains Malaysia (ASM) telah menjadi badan pencalon rasmi bagi menghantar pelajar Malaysia ke Program Pelajar Musim Panas CERN (CSSP).
Setakat ini, seramai 27 pelajar, termasuk dua peserta tahun ini, telah berjaya mewakili negara dalam program berprestij tersebut.
MOSTI memaklumkan bahawa program ini memberi peluang berharga kepada saintis muda negara untuk merasai pengalaman penyelidikan sebenar di peringkat global, selain mengaplikasikan ilmu yang dipelajari di universiti dalam persekitaran penyelidikan bertaraf dunia.
Menurut Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang, penyertaan dua pelajar ini juga merupakan antara langkah penting ke arah memperkukuh diplomasi sains serta pembangunan modal insan dalam bidang teknologi dan inovasi negara.


Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



