Hanya Dari Memori Kanak-Kanak, Karya Artis Muda Ini Menyerlah Di Fusion Art Malaysia 2025

Unik lukisan dia, lawa!

Enlarge text
Cover ImageCover image via BERNAMA
Logo

Follow kami di WhatsApp ChannelsTelegramInstagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.

Di sebalik deretan karya realisme yang dipamerkan di Fusion Art Malaysia 2025, sebuah lukisan bunga adenium blossom atau lebih dikenali sebagai kemboja cina tampil sederhana namun sarat dengan makna peribadi buat pelukisnya

SAYS.com
Image via BERNAMA

Menurut laporan BERNAMA, Karya bertajuk Chaos of Bloom hasil sentuhan artis muda, Aseerah Shahjahan, bukan sekadar lukisan berteknik relief atau timbul ala tiga dimensi, sebaliknya berakar daripada memori zaman kanak-kanak yang membentuk perjalanan seninya hari ini.

Menurut Aseerah, bunga tersebut sering menjadi pemandangan setia sepanjang perjalanan pulangnya dari sekolah suatu ketika dahulu, tanpa disedari meninggalkan kesan mendalam dalam ingatannya.

"Bunga ini sering saya lihat semasa zaman kanak-kanak, menemani perjalanan pulang dari sekolah. Rasa nostalgia itu yang mendorong saya menjadikannya subjek lukisan," katanya.

Menariknya, lukisan berharga RM1,500 itu hanya mengambil masa sehari untuk disiapkan dan merupakan karya sulungnya selepas hampir dua tahun meninggalkan dunia seni lukis

Pelajar Diploma Pengurusan di Universiti Tun Abdul Razak itu mengakui kemahirannya banyak diasah sejak di bangku sekolah sebelum terhenti seketika.

Mesra disapa Ash, dia turut berkongsi perasaan gementar apabila perlu berkongsi ruang pameran bersama nama besar seni tempatan dan antarabangsa seperti Hamid Mohamed, Premi Subramaniam dan Prakashan Kuttamath.

Namun, rasa itu akhirnya menjadi pemangkin untuk menghasilkan karya terbaik.

SAYS.com
Image via BERNAMA

Disebabkan tempoh lama tidak melukis, Ash mendedahkan dia terpaksa mengulang kaji teknik relief menerusi rujukan di Internet. Selain menggunakan cat akrilik, dia hanya memanfaatkan bahan asas di rumah seperti sikat, pencungkil gigi dan putik kapas.

Paling tidak disangka, kesan tapak kaki kucing peliharaannya yang terpijak kanvas ketika cat masih basah akhirnya menjadi elemen penting dalam karya tersebut.

"Pada awalnya saya panik. Tapi selepas lihat hasilnya, saya terpegun kerana kesan tapak kaki itu menghasilkan tekstur yang saya cari," katanya lagi.

Anak jati Kuala Lumpur itu tidak menolak kemungkinan untuk kembali aktif dalam seni lukis pada masa hadapan, meskipun sekadar sebagai hobi, kerana seni kekal menjadi medium untuk melepaskan tekanan dan mengekspresikan diri

SAYS.com
Image via BERNAMA

"Seni sentiasa dekat dengan saya. Buat masa ini, saya bersyukur kerana selepas dua tahun, akhirnya dapat menyiapkan karya ini," katanya.

Untuk rekod, Fusion Art Malaysia 2025 berlangsung dari 20 hingga 31 Disember dan menampilkan kepelbagaian karya artis dari 20 negara, sekali gus membuka ruang kepada bakat baharu untuk diketengahkan di pentas seni antarabangsa.

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!

Image via SAYS Seismik
Read more trending stories on SAYS

You may be interested in: