UTM Hasilkan Penapis Air Kompak, Direka Khas untuk Diguna Saat Kecemasan
Ia direka untuk menangani semua jenis pencemaran air.
Cover image via Astro AwaniFollow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Di banyak kawasan di Malaysia, air sebenarnya bukan satu kekangan
Hujan turun hampir setiap minggu, sungai mengalir merentasi negeri, malah banjir saban tahun di Pantai Timur sudah menjadi kebiasaan.
Namun, dalam limpahan air yang begitu meluas, wujud ironi apabila banyak komuniti masih berdepan kesukaran mendapatkan air bersih untuk kegunaan harian.
Situasi bertentangan inilah yang mendorong sekumpulan penyelidik di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) untuk mencari jawapan serta merungkai punca sebenar isu ini.

Walaupun air banyak tapi sukar untuk mendapatkan yang bersih
Menerusi laporan Astro Awani, Prof. Ts. Dr. Mohd Hafiz Dzarfan Othman, Pengerusi Penyelidikan Bersekutu Bahan Terkehadapan UTM, isu mendapatkan akses air bersih seringkali berulang dalam situasi bencana, walaupun bantuan disampaikan dengan pantas.
"Kalau kita tengok Pantai Timur, bila banjir, air memang banyak. Tapi komuniti tetap hadapi masalah bekalan air bersih.
"Sistem rawatan yang dibawa oleh NGO atau agensi kerajaan selalunya guna mesin besar, perlukan elektrik. Bila elektrik terputus, teknologi itu tak dapat digunakan," katanya.
Kekangan inilah yang mendorong pasukannya di Advanced Membrane Technology Research Centre (AMTEC), sebuah pusat kecemerlangan penyelidikan teknologi membran yang beroperasi lebih dua dekad, untuk mencari penyelesaian.
"Kami mula fikir, kalau kita boleh hasilkan sesuatu yang tak perlukan elektrik, cukup dengan sedutan graviti sahaja…bukankah itu boleh menyelamatkan banyak nyawa?" soalnya, merujuk kepada usaha mereka mencipta teknologi rawatan air yang mudah digunakan semasa ketiadaan bekalan elektrik.

Direka untuk menangani semua jenis pencemaran air
Jerneh H20 direka berdasarkan falsafah yang mementingkan kejelasan, kemudahan, kos yang rendah, dan penggunaan yang universal (boleh digunakan sesiapa sahaja).
Penapis ini menggunakan teknologi mikrofiltrasi, menjadikannya mampu membuang pepejal terampai, bakteria, dan kandungan minyak. Ia sangat sesuai untuk menapis air dari sungai atau air banjir yang mengandungi zarah kasar dan mikroorganisma bersaiz bakteria.
Walaubagaimanapun, Prof. Hafiz bersikap telus mengenai batasan teknologi ini.
"Kalau ada virus, dissolve ion, heavy metal itu tak boleh. Kita jujur. Setiap membran ada keupayaan berbeza. Untuk kategori bakteria, ya. Untuk virus, tidak," katanya.
Justeru, Jerneh H20 bukanlah sistem rawatan air berskala industri, dan ia tidak direka untuk menangani semua jenis pencemaran air. Sebaliknya, tujuan utamanya adalah untuk menyelamatkan nyawa dalam situasi darurat, terutamanya di kawasan bencana atau lokasi pedalaman.
Sudah di jual di pasaran, tapi masih belum dikenali
"Kita nak produk ini ada di semua rumah. Harganya tak mahal, kurang daripada RM100," katanya.
Dengan harga yang mampu milik, produk bersaiz poket ini menyasarkan kumpulan yang sering terjejas, termasuk penduduk luar bandar, sukarelawan bencana, pendaki, nelayan, dan sesiapa sahaja yang memerlukan air bersih semasa mobiliti tinggi.
Walaupun Jerneh H20 telah tersedia untuk pembelian di platform e-dagang, tahap kesedaran orang ramai mengenainya masih dianggap rendah.
"Kita akui promosi perlu diperkuatkan, banyak pihak belum kenal produk ni," ujar Prof. Hafiz.
"Kita tak kata produk ini sempurna. Ada elemen air yang kita belum boleh pisahkan. Tapi sebagai alternatif mudah, murah dan tanpa elektrik dan ia menawarkan penyelesaian."
Bagi beliau, proses inovasi tidak akan berhenti.
"Masih banyak ruang penambahbaikan. Teknologi membran sentiasa berkembang. Yang penting, ia terus memudahkan hidup masyarakat," tambahnya.
Ciri utama produk ini adalah kesederhanaan operasinya yang tiada bateri. Tiada pam. Tiada kebergantungan kepada tenaga. Ia hanya memerlukan graviti dan reka bentuk membran yang berkesan.

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



