The Gasket Alley Umum Bakal Tutup Secara Rasmi Selepas Sedekad Beroperasi
Destinasi gaya hidup dan acara popular ini mengumumkan larian perpisahan sebagai simbolik hari-hari terakhir operasinya.
Cover image via The Gasket Alley (Facebook)Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Setelah hampir sedekad mewarnai gaya hidup warga Lembah Klang sebagai port lepak ikonik, The Gasket Alley akhirnya mengumumkan bakal melabuhkan tirainya secara rasmi
Perkhabaran hiba itu dikongsikan menerusi laman media sosial mereka pada 10 Mac lalu, di mana pihak pengurusan menjemput orang ramai untuk hadir ke acara perpisahan terakhir yang dinamakan 'The Last Run', iaitu larian santai komuniti sejauh 3km di sekitar kawasan tersebut.
Menerusi hantaran tersebut, mereka menyatakan bahawa acara ini merupakan simbolik "pusingan terakhir" sebelum lipatan sejarah premis itu ditutup sepenuhnya.
Para peserta dialu-alukan untuk berlari atau sekadar berjalan santai, malah sesiapa sahaja yang mempunyai memori indah di sana sangat digalakkan untuk hadir bagi memberikan penghormatan terakhir.
Penyertaan adalah percuma namun slot yang disediakan amat terhad. Peminat setia juga berpeluang memiliki barangan cenderamata eksklusif 'The Last Run' yang dijual sebagai kenang-kenangan terakhir daripada destinasi gaya hidup popular ini.

Walaupun hantaran tersebut tidak menyatakan penutupan secara terus pada ruangan kapsyen, pihak The Gasket Alley telah mengesahkan berita sedih itu melalui ruangan komen
Setakat ini, pihak SAYS masih menantikan maklum balas lanjut daripada pengurusan mereka mengenai punca sebenar penutupan premis ikonik ini.
Sejak mula beroperasi pada 2015, hub kreatif yang diasaskan oleh sekumpulan rakan sealiran ini telah berkembang daripada sebuah komuniti di Cheras sehingga menjadi mercu tanda estetik perindustrian di Petaling Jaya.
Dikenali dengan reka bentuk kontena dan gudang yang unik, ia menjadi rumah kepada jenama bebas, perniagaan kecil, serta pusat tumpuan pelbagai acara menarik seperti pasar hujung minggu, pameran seni, perjumpaan kereta, dan persembahan muzik secara langsung.


Buat masa ini, acara larian perpisahan tersebut menjadi acara awam pertama yang menandakan berakhirnya sebuah legasi.
Jika lokasi ini pernah memberi makna dalam hidup anda, inilah peluang terakhir untuk merasai suasana pusingan terakhir di sana.
Butiran Acara 'The Last Run':
Jarak: Larian Komuniti 3km
Tarikh: 28 Mac 2026
Masa: 6 petang (Pendaftaran bermula)
Lokasi: The Gasket Alley
Daftar untuk larian tersebut di sini.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



