SK Long Boh Dari Perlis Dinobat Juara Cabaran Skytech Global Di Malaysia Techlympics 2025
Hebatnya!
Cover image via Malaysia Techlympics (Facebook)Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Siapa sangka sebuah sekolah kecil di tepi sawah padi di Perlis mampu menewaskan pasukan antarabangsa dalam pertandingan teknologi berprestij?
Itulah kejayaan luar biasa pasukan D'lobo Nexus dari Sekolah Kebangsaan (SK) Long Boh yang muncul juara Cabaran Skytech Global (G-Sky) sempena Malaysia Techlympics 2025 baru-baru ini.
Dua pelajar berusia 12 tahun, Muhammad Eiman Rayyan Adi Yusrin dan Ameer Firash Muhammad Fauzi, menewaskan peserta dari Kemboja dan China dalam pertandingan akhir yang berlangsung di MITC, Melaka.
Lebih mengagumkan, kedua-dua mereka baru mula belajar mengendalikan dron dan mempelajari coding awal tahun ini, namun berjaya mengatasi pasukan yang sudah bergelar juara di negara masing-masing.

Guru jurulatih bangga lihat usaha anak murid sekolah kampung
Jurulatih pasukan, Nor Heslee Mat, 44, mengakui perjalanan pasukannya bukan mudah. Menurutnya, anak muridnya pada mulanya tidak ada asas langsung dalam dron mahupun coding. Namun minat tinggi, latihan tanpa jemu termasuk pada hari cuti menjadikan mereka kompetitif di pentas global.
"Sejujurnya sampai hari ini masih rasa seperti mimpi kerana semasa pertandingan final tugasan yang diberi memang sukar dan persaingan sangat sengit ditambah dengan pasukan global yang juara di negara masing-masing.
"Jika hendak dibandingkan dengan kami pasukan dari sebuah sekolah kampung di tepi sawah padi memang terasa kerdil, tetapi usaha tanpa henti kedua-dua pelajar yang sanggup berlatih walaupun di hari cuti membuahkan hasil. Semangat ingin berjaya itu yang cukup berharga," katanya.

SK Long Boh hanya mempunyai kira-kira 160 murid, kebanyakannya anak petani
Walaupun rata-rata lemah dalam Bahasa Inggeris, penyertaan Techlympics membuka ruang baharu:
- Penguasaan Bahasa Inggeris meningkat melalui coding.
- Keyakinan diri bertambah.
- Kemahiran critical thinking meningkat apabila perlu mengira jarak, kelajuan dron dan menganalisa tugasan mencabar.
Selain G-Sky, sekolah tersebut turut bertanding dalam kategori CSI, EZ Bot dan EZ Rover.

Dengan kemenangan itu, pasukan D'lobo Nexus bakal mewakili Malaysia ke pertandingan dron antarabangsa Pilot X di Hong Kong pada Januari depan.
Malaysia Techlympics 2025 turut mencipta dua rekod Malaysia Book of Records (MBOR):
- Penyertaan terbesar pertandingan STEM belia antarabangsa
- Bilangan dron terbanyak diterbangkan serentak di dalam bangunan
Sementara itu, kontinjen Pahang pula muncul juara keseluruhan dengan kutipan 12 pingat.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



