Restoran Pertama ‘Rembayung’ Milik Khairul Aming Akan Dibuka – “Tak Sabar Nak Booking Meja”
Restoran Rembayung dibina dari tapak kosong di kawasan Kampung Baru, Kuala Lumpur dengan keluasan 8,000 kaki persegi.
Cover image via @khairulaming (TikTok)Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Selepas setahun menyimpan rahsia, figura pempengaruh dan usahawan terkenal, Khairul Amin Kamarulzaman atau lebih dikenali sebagai Khairul Aming (KA), akhirnya mendedahkan pelancaran restoran fizikal pertamanya yang dinamakan 'Rembayung'
Pengumuman yang dibuat menerusi platform media sosialnya hari ini bukan sahaja disambut dengan keterujaan peminat, malah disifatkan sebagai detik bersejarah dan permulaan era baharu dalam empayar perniagaan beliau.
Khairul Aming turut berkongsi bahawa Rembayung merupakan pelaburan terbesar dalam tempoh 10 tahun perjalanan beliau dalam dunia digital dan perniagaan makanan. Projek ini menelan kos keseluruhan sebanyak RM4 juta.

"Selepas 10 tahun dalam dunia online, saya akhirnya bersedia untuk memulakan langkah ke dunia offline. Ini adalah permulaan untuk perancangan KA 10 tahun yang seterusnya. Selamat datang ke Rembayung," tulis anak jati Kelantan itu.
Untuk rekod, restoran Rembayung dibina dari tapak kosong di kawasan Kampung Baru, dengan keluasan 8,000 kaki persegi. Lokasinya yang strategik, hanya sembilan minit dari KLCC, menunjukkan komitmen serius Khairul Aming untuk menempatkan premis tersebut sebagai destinasi utama, berbanding sekadar menumpang premis sedia ada.
Langkah berani pengasas Sambal Nyet, Dendeng Nyet dan Rendang Nyet Berapi
Langkah berani ini merupakan fasa peralihan Khairul Aming daripada pencipta kandungan digital kepada usahawan restoran fizikal sepenuhnya. Setelah berjaya menggegarkan pasaran dengan produk viral seperti Sambal Nyet, Dendeng Nyet dan Rendang Nyet Berapi, beliau melihat kini adalah masa terbaik untuk melangkah keluar dari dapur digital ke arena kulinari fizikal yang lebih besar.

Walaupun konsep dalaman dan menu Rembayung masih dirahsiakan, ramai menjangkakan ia bakal mencerminkan gaya masakan yang moden, kemas, dan penuh identiti yang sinonim dengan personaliti serta kreativiti Khairul Aming.
Projek RM4 juta ini dilihat bukan sekadar pembukaan sebuah restoran, tetapi simbol kejayaan yang membuktikan bahawa dengan minat, konsistensi, dan keberanian melangkah, seorang usahawan digital mampu mencipta legasi yang mengubah impian online menjadi realiti fizikal yang menginspirasikan ramai pihak.
Tonton video di bawah:
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



