Remaja 18 Tahun Tunai Haji Sendiri, Bukti Didikan & Perancangan Awal Ibu Berbaloi
Semoga mendapat haji yang mabrur, dik!
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Ketika ramai remaja seusianya masih mencari arah hidup, seorang anak muda berusia 18 tahun membuktikan kematangan luar biasa apabila berangkat ke Tanah Suci seorang diri untuk menunaikan ibadah haji
Menurut laporan Sinar Harian, Eusoff Azman, bekas pelajar Maktab Tentera Diraja, melakar pengalaman bermakna itu hasil perancangan rapi ibunya yang mendaftarkannya dengan Lembaga Tabung Haji sejak kecil.
Menurutnya, pendaftaran awal itu akhirnya membuahkan hasil apabila namanya terpilih pada musim haji kali ini.
"Alhamdulillah, mak saya daftar sejak saya kecil. Tahun ini nama saya dipilih dan saya dapat datang walaupun seorang diri," katanya.
Walaupun pertama kali menjejakkan kaki ke luar negara tanpa ditemani keluarga, Eusoff mengakui tidak berdepan cabaran besar, apatah lagi pengalaman tinggal di asrama sebelum ini banyak membentuk jati dirinya.
"Saya tak terlalu gementar. Mungkin sebab sebelum ini saya bersekolah asrama, jadi sudah biasa berjauhan dengan keluarga. Cuma ini pengalaman baharu sebab pertama kali ke luar negara seorang diri," katanya lagi.

Sebagai anak keempat daripada enam beradik, Eusoff melihat perbezaan usia dengan rakan sebilik sebagai peluang menimba ilmu dan pengalaman baharu, bukannya halangan
"Saya anggap ini peluang untuk belajar daripada mereka. Walaupun umur berbeza, kami boleh berbual dan berkongsi pengalaman," katanya.
Tambahnya, amalan menabung sejak kecil yang diusahakan ibunya menjadi antara faktor penting yang merealisasikan impian ke Tanah Suci.
"Saya ada simpan duit sendiri seperti duit raya dan sekolah, tapi mak memang banyak membantu sejak awal dengan memasukkan simpanan dalam akaun Tabung Haji.
"Mak pesan jaga diri, jaga solat dan banyakkan ibadah di Tanah Haram," katanya.

Simpan hasrat untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi, termasuk di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) atau program matrikulasi
Eusoff turut merakamkan penghargaan kepada kedua ibu bapanya atas segala pengorbanan yang memungkinkan beliau menunaikan rukun Islam kelima pada usia muda.
"Terima kasih mak dan ayah sebab bantu saya sampai ke sini. Ayah juga banyak membantu dari segi perbelanjaan untuk saya datang ke Tanah Suci," katanya.
Selepas menamatkan ibadah haji, beliau menyimpan hasrat untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi, termasuk di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) atau program matrikulasi.
"Saya berharap dapat sambung belajar, mungkin ke Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) atau matrikulasi.
"Saya rasa jaga hubungan dengan orang dan dengan Allah itu antara perkara paling penting dalam hidup.
"Saya sarankan ibu bapa buka akaun Tabung Haji untuk anak-anak sejak kecil. Lagi awal daftar, lagi cepat peluang untuk pergi," ujarnya.
Mengulas pengalamannya di Tanah Suci, Eusoff berkata beliau bertuah kerana menerima layanan baik daripada rakan sebilik yang banyak membantu sepanjang berada di sana.
"Kadang-kadang mereka ambil berat, tanya keadaan saya dan bantu ambilkan makanan," katanya.
Beliau juga menyifatkan perkhidmatan yang disediakan oleh Lembaga Tabung Haji sebagai memuaskan dan memudahkan urusan jemaah.
"Setakat ini semua mudah. Kalau tak faham, saya tanya dan mereka bantu. Jadi saya rasa sangat memudahkan," katanya.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 