Pelajar Tahfiz Berjaya Khatam Al-Quran 10 Kali Dalam 7 Bulan & Peroleh CGPA 3.99!
MashaAllah, hebat sungguh!
Cover image via Darul Quran JAKIM (Facebook)Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Keupayaan menyeimbangkan kecemerlangan hafazan Al-Quran, pencapaian akademik hampir sempurna serta penglibatan aktif dalam kepimpinan dan kokurikulum melayakkan Ainin Saheela Anuar menerima Anugerah Pelajar Cemerlang (kategori pelajar perempuan) dalam Majlis Khatam Hafazan Al-Quran yang berlangsung pada Sabtu lalu
Menurut laporan Sinar Bestari, pengiktirafan tersebut secara tidak langsung mengangkat nama beliau sebagai antara pelajar contoh yang menyerlah sepanjang tempoh pengajian, sekali gus membuktikan kecemerlangan menyeluruh mampu dicapai oleh pelajar tahfiz.
Menurut Ainin Saheela, anugerah yang diterima disifatkan sebagai satu penghargaan besar terhadap segala usaha, disiplin dan pengorbanan yang telah dilalui sepanjang bergelar pelajar tahfiz, selain menjadi pembakar semangat untuk terus memperbaiki diri pada masa hadapan.
"Anugerah ini bukan sekadar pengiktirafan, tetapi peringatan untuk saya terus istiqamah dan tidak selesa dengan pencapaian sedia ada," katanya yang merupakan pelajar Syukbah Qiraat daripada Program Diploma Tahfiz al-Quran dan al-Qiraat, Darul Quran, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).


Dikenali sebagai pelajar yang konsisten dan berdisiplin, Ainin Saheela menjelaskan bahawa strategi pembelajarannya tidak jauh berbeza berbanding pelajar lain
Walau bagaimanapun, beliau menekankan kepentingan untuk memberikan tumpuan sepenuhnya semasa sesi pengajaran di dalam kelas, berani bertanya kepada pensyarah sekiranya terdapat perkara yang kurang difahami serta mengelakkan amalan belajar pada saat akhir.
"Nota saya sediakan lebih awal dan minggu peperiksaan hanya digunakan untuk ulang kaji," katanya lagi.
Mengakui Bahasa Inggeris sebagai antara subjek paling mencabar, Ainin Saheela tidak menjadikan kelemahan tersebut sebagai penghalang kepada kecemerlangan akademiknya.
Sebaliknya, beliau memperbanyakkan latihan penulisan essay dan tatabahasa secara berterusan sehingga berjaya meningkatkan tahap kefahaman serta keyakinan diri.


Kejayaan yang diraih Ainin Saheela bukan sahaja mencerminkan kecemerlangan individu, malah menjadi inspirasi kepada pelajar tahfiz bahawa hafazan Al-Quran mampu bergerak seiring dengan pencapaian akademik, kepimpinan serta pembentukan sahsiah.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



