Murid Umur 12 Tahun Masih Tak Pakai Seluar Dalam, PHM Tegur Ibu Bapa Jangan Ambil Mudah
PHM turut menyarankan ibu bapa menjadikan pemakaian seluar dalam sebagai rutin harian termasuk selepas mandi, ke sekolah, bersukan dan ketika tidur.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Isu kebersihan dan pendidikan asas tubuh badan kanak-kanak kembali menjadi perhatian selepas tular pendedahan mengenai murid sekolah rendah yang didakwa masih tidak dibiasakan memakai seluar dalam
Perkara itu dikongsikan oleh pengguna media sosial, @Nurzaireen_erin yang mendakwa menemui situasi tersebut ketika melakukan pemeriksaan di sebuah sekolah. Lebih membimbangkan, terdapat murid perempuan yang mengalami haid tanpa perlindungan pakaian dalam yang sesuai sehingga berlaku kebocoran.
"Makpak (ibu bapa) tolong ajar anak lelaki dan perempuan pakai seluar dalam. Hari ini spotcheck umur 12 tahun masih tak pakai spenda. Sebab awal pagi ada budak perempuan period meleleh sampai kaki," katanya.
Susulan perkongsian itu, Public Health Malaysia (PHM) turut tampil memberi penjelasan bahawa pemakaian seluar dalam bukan sekadar soal pakaian, sebaliknya berkait rapat dengan kebersihan diri, kesihatan dan perlindungan tubuh kanak-kanak.
Masih terdapat ibu bapa yang tidak membiasakan anak-anak memakai seluar dalam sejak kecil
"Seluar dalam bukan sekadar pakaian. Ia melindungi kawasan peribadi, menyerap peluh, mengurangkan geseran, membantu menjaga kebersihan dan memberi anak rasa selamat ketika bergerak atau bersukan," jelasnya.
PHM turut menekankan kepentingan pemakaian seluar dalam bagi kanak-kanak perempuan yang mula datang haid kerana ia membantu memastikan pad kekal pada kedudukan betul serta mengurangkan risiko kebocoran yang boleh menyebabkan rasa malu.
Dalam masa sama, PHM mengingatkan bahawa pendidikan penjagaan tubuh badan tidak seharusnya hanya tertumpu kepada anak perempuan, sebaliknya anak lelaki juga perlu dididik mengenai kebersihan diri dan batas aurat sejak kecil.

Gambar sekadar hiasan.
Image via WunderUndies"Jangan ajar anak perempuan sahaja. Anak lelaki juga perlu tahu kawasan sulit perlu dijaga, ditutup dan dihormati," katanya.
PHM turut menyarankan ibu bapa menjadikan pemakaian seluar dalam sebagai rutin harian termasuk selepas mandi, ke sekolah, bersukan dan ketika tidur. Selain itu, pakaian yang dipilih juga perlu bersesuaian dan selesa dipakai oleh kanak-kanak.
"Ibu bapa juga disarankan menyediakan beberapa helai tambahan di dalam beg sekolah khususnya bagi kanak-kanak yang baru belajar menguruskan haid, selain menukar seluar dalam setiap hari atau apabila basah dan kotor," katanya.
Pada masa sama, PHM menegaskan pendidikan berkaitan kebersihan tubuh perlu dilakukan secara berhemah tanpa memalukan anak-anak supaya mereka lebih selesa memahami kepentingan menjaga diri sejak usia muda.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 