Media Prima Berhad Meriahkan Lagi Keretapi Sarong 2025 Dengan Zon Lepak Paling Malaysia
Acara sempena Hari Malaysia ikonik ini kembali lagi pada 13 September dengan tema "Serumpun".
Cover image via @keretapisarong (Instagram)Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Keretapi Sarong 2025 (KS25) kembali pada 13 September dengan tema "Serumpun" pada edisi kesembilannya sebagai salah satu acara ikonik sambutan Hari Malaysia
Sekali lagi, ribuan rakyat Malaysia akan menyarung kain Sarong dan menaiki pengangkutan awam dari 11 stesen permulaan di seluruh Lembah Klang, bersatu dalam sebuah 'flash mob' budaya bergerak yang melambangkan kepelbagaian dan solidariti.
Pengasas Bersama LOCCO, Shamsul Bahrin Zainuzzaman, berkata edisi kali ini melangkaui sempadan.
"Keretapi Sarong telah berkembang menjadi tradisi Hari Malaysia, dan dengan tema Serumpun, ia mengingatkan kita bahawa perpaduan tidak terbatas pada geografi. Ia adalah tentang warisan bersama dan denyut irama yang menghubungkan kita sebagai rakyat Malaysia dan sebahagian daripada keluarga ASEAN yang lebih luas," katanya.

Peserta perayaan unik dan berwarna-warni ini akan memulakan perjalanan mereka dari Subang Jaya, Kajang, KL Sentral, Putrajaya Sentral, UPM, Gombak dan lima lagi stesen lain sebelum bertemu di destinasi pusat di Kuala Lumpur.
Tahun ini, keluarga Keretapi Sarong semakin besar. Acara flash mob ini juga akan berlangsung serentak di George Town, Ipoh, Kuantan, Sungai Petani, Pasir Mas, Johor Bahru dan Melaka, mencerminkan bagaimana gerakan ini telah berkembang merangkul komuniti di seluruh negara, selain di lokasi luar negara tertentu.
Sementara itu, Tourism Selangor akan menggunakan KS25 sebagai platform untuk menonjolkan kepelbagaian budaya negeri Selangor. Melalui persembahan terpilih dan kerjasama strategik, Tourism Selangor akan mempromosikan kekayaan tradisi Selangor sambil menyokong kempen Visit Selangor 2025, menjadikan Sarong sebagai lambang identiti yang dibanggakan, sama ada oleh rakyat tempatan mahupun pengunjung antarabangsa.
Keretapi Sarong 2025 hidupkan semangat "Serumpun" seluruh negara
Tahun ini, Media Prima Berhad akan sekali lagi bekerjasama dengan Keretapi Sarong untuk menganjurkan Zon Lepak Paling Malaysia sempena sambutan Hari Malaysia.
Zon Lepak Paling Malaysia merupakan sebuah zon pengalaman (experiential zone) yang diwujudkan khas untuk meraikan kepelbagaian budaya dan semangat perpaduan rakyat Malaysia. Di sini, para pengunjung berpeluang untuk berhibur, berinteraksi dan menikmati pelbagai aktiviti yang mencerminkan identiti bangsa Malaysia.
Bagi menghiburkan para pengunjung, pihak Media Prima Berhad telah menyusun pelbagai aktiviti menarik sepanjang hari, yang pastinya akan menjadi tumpuan rakyat Malaysia dari segenap lapisan masyarakat.

Antara tarikan utama ialah aktiviti 62 Balang Untuk Malaysia, di mana kami akan memberikan minuman air balang percuma kepada semua pengunjung. Buat julung kalinya di Malaysia, aktiviti ini akan menampilkan 62 perisa minuman yang sinonim dengan rakyat Malaysia, termasuk teh tarik.
Selain itu, Media Prima juga akan mengagihkan rojak percuma kepada 1,000 pengunjung terawal yang hadir ke Zon Lepak Paling Malaysia. Sajian rojak ini dipilih sebagai simbolik kepada Malaysia – pelbagai ramuan berbeza yang digabungkan menjadi satu hidangan yang istimewa, sama seperti rakyat Malaysia yang bersatu walaupun berbeza latar belakang.

Zon ini turut dimeriahkan dengan persembahan khas dan sesi ramah mesra bersama barisan artis baharu Media Prima yang sedang meningkat naik. Antara yang bakal membuat persembahan di pentas utama Keretapi Sarong ialah Mary Grace, Puteri Khareeza dan Miriam. Seusai persembahan, mereka juga akan meluangkan masa untuk bertemu dan beramah mesra dengan para pengunjung di Zon Lepak Paling Malaysia.
Untuk rekod, Media Prima Berhad sebelum ini pernah bekerjasama dengan Keretapi Sarong pada tahun 2023 melalui acara Kuih Piknik, sekali gus memperkukuhkan lagi hubungan strategik antara kedua-dua pihak.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



