“Malaysia Rumah Kami” – Tular Kenderaan Guna Bahasa Israel Jadi Pedebatan Ramai
Difahamkan, kejadian terbabit dirakam di sebuah jalan raya di Melaka.
Cover image via FacebookFollow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Tular di media sosial sebuah klip video memaparkan sebuah pikap berpelekat tulisan Hebrew yang membawa maksud "Malaysia rumah kami"
Frasa dalam bahasa rasmi Israel itu telah mencetuskan kebimbangan dan kemarahan orang ramai.
Susulan penularan itu, Pegawai Agama kepada Ketua Menteri Melaka, Hairul Amin Madon, tampil membuat laporan polis di Balai Polis Merlimau pada petang Selasa.
Menurutnya, video yang memaparkan kenderaan jenis Isuzu empat roda itu mula dikesan sekitar tengah hari Selasa dan dipercayai dirakam di dalam kawasan negeri Melaka.
Beliau menjelaskan bahawa tulisan Hebrew pada pelekat berkenaan membawa maksud amat sensitif, iaitu "Malaysia milik kami" atau "Malaysia di tangan kami", satu ungkapan yang berpotensi mencetuskan provokasi, khususnya ketika isu Gaza dan misi Global Sumud Flotilla (GSF) masih hangat menjadi perhatian dunia.

Polis Melaka kenal pasti pemilik pikap
Menerusi laporan Sinar Harian, Polis Melaka mengesahkan telah mengenal pasti pemilik sebuah pikap yang tular di media sosial selepas dikesan mempunyai pelekat bertulisan Hebrew pada bahagian belakang kenderaan berkenaan.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar, berkata siasatan dimulakan sebaik menerima laporan berkaitan klip video itu daripada Pegawai Khas Agama kepada Ketua Menteri pada jam 3.32 petang, Selasa.
"Semakan yang dijalankan mendapati kenderaan terbabit didaftarkan atas nama seorang lelaki yang beralamat di Gemencheh, Negeri Sembilan.
"Siasatan sedang dijalankan di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana menimbulkan ketakutan atau kegentaran awam," katanya.
Beliau menambah, siasatan turut dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, berkaitan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan telekomunikasi.
Dzulkhairi dalam masa sama menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung penyebaran video berkenaan.
"Siasatan secara telus akan dijalankan demi memastikan keselamatan dan keharmonian masyarakat sentiasa terjamin," katanya lagi.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar.
Image via NSTP/ Meor Riduwan Meor AhmadLihat video di bawah:
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



