Malaysia Kekal Jadi Destinasi No. 1 Paling Popular Dalam Kalangan Pelancong Dari Indonesia
Malaysia mencatatkan lebih 31% daripada jumlah keseluruhan perjalanan warga Indonesia ke luar negara.

Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Jumlah rakyat Indonesia yang melancong ke luar negara terus melonjak dengan Malaysia kekal menjadi destinasi pilihan utama
Pada Julai 2025 sahaja, hampir 870,000 perjalanan dicatatkan, meningkat hampir 20% berbanding bulan sebelumnya.
Secara keseluruhan, lebih 5.4 juta perjalanan dibuat dari Januari hingga Julai tahun ini, angka tertinggi sejak pandemik melanda pada 2020, lapor Detik.com.
Malaysia muncul sebagai negara paling digemari pelancong Indonesia dengan catatan lebih 31% daripada jumlah keseluruhan perjalanan ke luar negara.
Populariti Malaysia ini jelas menunjukkan hubungan rapat serta kemudahan akses rentas sempadan yang terus menarik minat warga seberang untuk berkunjung.
Pilihan seterusnya ialah Arab Saudi, Singapura dan China.
Pelancongan domestik dalam kalangan rakyat Indonesia menurun

Sementara itu, di Indonesia, jumlah perjalanan pelancong domestik republik itu pada Julai tahun ini sedikit menurun berbanding bulan sebelumnya.
Namun, jika dibandingkan dengan tahun lalu, trendnya masih positif dengan kenaikan hampir 30%. Pulau Jawa kekal sebagai destinasi paling dominan, terutama Jawa Barat, Jawa Timur dan Jawa Tengah.
Keseluruhannya, sepanjang tujuh bulan pertama 2025, perjalanan domestik di Indonesia mencecah lebih 713 juta, naik lebih 19% tahun ke tahun.
Walaupun pasaran pelancongan dalam negara kekal tinggi, data terbaharu ini membuktikan Malaysia terus mendahului sebagai destinasi luar negara paling digemari rakyat Indonesia.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



