Komuniti PPR Di Pantai Ria, KL Buktikan Kawasan Flat Juga Boleh Jadi Bersih & Cantik
Semua penduduk kena sepakat jaga kebersihan sama-sama.
Cover image via Harian MetroFollow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Inisiatif luar biasa penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pantai Ria, Kuala Lumpur membuktikan persepsi negatif bahawa kawasan PPR sering kotor dan terbiar tidak semestinya benar
Menurut laporan Harian Metro, kerjasama antara komuniti di PPR Pantai Ria Blok B berjaya mengubah wajah lobi dan tingkat kediaman sehingga kelihatan lebih bersih, teratur dan selamat.
Setiausaha Jawatankuasa Rukun Tetangga (KRT) PPR Pantai Ria Blok B, Sahrul Kamal Sadri, 52, berkata usaha tersebut bermula selepas penduduk sepakat mahu memperbaiki imej kawasan masing-masing.
Menurut beliau, pada peringkat awal DBKL menyalurkan sumbangan RM300 bagi setiap tingkat untuk kerja mengecat, namun jumlah itu tidak mencukupi bagi kos keseluruhan.

"Kos keseluruhan sebenarnya RM10,000. Sumbangan awal kami ialah RM50 bagi setiap pintu melibatkan 18 rumah yang aktif, kemudian kami tambah lagi RM50 menjadikan jumlah RM100 untuk setiap rumah.
"Kemudian, bila semuanya tunjukkan komitmen tinggi dan kerjasama yang kuat, ada penduduk menawarkan infak seperti barangan kitar semula dan kemahiran masing-masing. Kami dapat jimatkan banyak benda, ada penduduk sumbangkan barangan lama yang masih elok," katanya.
Tingkat 12 jadi contoh, ada yang mahir wiring & pertukangan
Tingkat 12 PPR Pantai Ria menjadi antara yang paling menonjol hasil sumbangan kemahiran penduduknya.
Sahrul berkata, beberapa penghuni di tingkat berkenaan mempunyai kepakaran dalam kerja pendawaian dan pertukangan, menjadikan proses pembaikan dan kecantikan lobi lebih teratur serta selamat.
Ketua Tingkat 12, Mohd Isrook Saringat, 62, pula menjelaskan bahawa mereka turut mengambil langkah pencegahan dengan memasang kamera litar tertutup (CCTV) yang boleh diakses oleh semua penduduk di tingkat tersebut.
Katanya, CCTV itu bukan saja meningkatkan keselamatan, malah membuatkan penduduk lebih bertanggungjawab terhadap harta bersama.

"Golongan lelaki melakukan gotong-royong mencantikkan apa yang perlu, manakala golongan wanita pula masak bersama-sama menjadikan suasana penuh keakraban.
"Kami tak sangka hasil ini akan tular kerana pada awalnya hanya mahu mencantikkan kawasan kediaman sahaja.
"Berkenaan stigma masyarakat mengaitkan PPR sebagai kawasan tidak cantik, usaha dilakukan ini sangat bagus kerana memupuk kerjasama dan mengamalkan kebersihan bersama.
"Apabila kawasan sudah cantik, penduduk secara tidak langsung tidak mahu membuang sampah merata-rata dan lebih menjaga kebersihan. Kami berharap DBKL boleh menggalakkan usaha seperti ini bagi menggerakkan lebih ramai penduduk PPR lain melakukan perkara sama," katanya lagi.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



