Kenapa Nafas Berbau Waktu Puasa Walaupun Jaga Kebersihan? Ini Jawapannya
Ia sebenarnya berkait rapat dengan perubahan metabolisme badan.
Cover image via Gambar janaan AI.Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Setiap kali Ramadan, pasti ada yang berdepan situasi ini sudah berus gigi berkumur malah guna penyegar mulut, namun menjelang tengah hari atau petang nafas tetap berbau kurang menyenangkan
Ramai menyangka ia berpunca daripada kebersihan mulut yang tidak sempurna, sedangkan hakikatnya anda mungkin sedang mengalami proses biologi semula jadi yang dinamakan ketosis.
Menurut perkongsian Public Health Malaysia, bau nafas ketika berpuasa bukan semata-mata berpunca daripada sisa makanan atau celahan gigi, tetapi berkait rapat dengan perubahan metabolisme badan.

Gambar janaan AI.
1. Proses ketosis (pembakaran lemak)
Apabila seseorang berpuasa melebihi 12 jam, simpanan glukosa dalam badan akan semakin berkurangan. Apabila sumber tenaga utama ini habis, badan akan beralih kepada pembakaran lemak sebagai alternatif untuk menghasilkan tenaga.
Proses pembakaran lemak ini menghasilkan bahan sampingan yang dikenali sebagai keton (ketone bodies). Antara jenis keton tersebut ialah acetone, yang mempunyai bau tersendiri.
2. Kenapa bau keluar melalui mulut?
Acetone yang terhasil akan memasuki aliran darah dan seterusnya dibawa ke paru-paru.
Dari situ, ia dilepaskan melalui hembusan nafas. Inilah sebabnya nafas orang berpuasa kadangkala berbau seperti metalik, sedikit tengik atau menyerupai bau "nail polish remover".
Bau ini datang dari dalam badan dan bukan daripada sisa makanan di gigi. Oleh sebab itu, walaupun seseorang berus gigi berkali-kali pada waktu siang, bau tersebut sukar dihapuskan sepenuhnya.
3. Kekurangan air liur (xerostomia)
Selain ketosis, faktor lain yang menyumbang kepada bau mulut ialah kekurangan air liur atau xerostomia. Air liur berfungsi sebagai agen pembersih semula jadi yang membantu mengawal pertumbuhan bakteria dalam mulut.
Apabila tidak minum air dalam tempoh yang lama, mulut menjadi kering. Keadaan ini menggalakkan pembiakan bakteria anaerobik yang menghasilkan gas sulfur antara penyebab utama bau mulut, terutamanya di permukaan lidah.

Gambar janaan AI.
Cara mengurangkan bau mulut ketika berpuasa
Walaupun bau akibat ketosis sukar dihilangkan sepenuhnya, bau luaran akibat bakteria masih boleh dikawal dengan beberapa langkah berikut:
1. Bersihkan Lidah
Sebahagian besar bakteria penghasil gas sulfur berada di permukaan lidah. Gunakan pembersih lidah (tongue scraper) atau berus lidah setiap kali selepas sahur bagi mengurangkan pembiakan bakteria.
2. Minum Teh Hijau Ketika Sahur
Teh hijau tanpa gula mengandungi catechin yang mempunyai sifat antibakteria dan membantu meneutralkan gas sulfur dalam mulut.
3. Elakkan Makanan Berbau Kuat
Makanan seperti bawang putih mentah, bawang merah dan petai boleh memburukkan lagi bau nafas kerana ia menjadi sumber makanan kepada bakteria mulut.
Bau nafas ketika berpuasa adalah fenomena semula jadi dan menandakan badan sedang menyesuaikan diri dengan proses pembakaran lemak. Ia bukan petanda kebersihan yang buruk semata-mata.
Apa yang penting ialah terus menjaga kebersihan mulut seperti biasa, mengambil makanan yang sesuai ketika sahur dan memahami bahawa perubahan ini adalah sebahagian daripada mekanisme tubuh ketika berpuasa.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



