Jual Rumah Demi Isteri Sambung PhD Di UK, Bekas Bomba Sanggup Kerja Dua Syif Demi Keluarga
Bukan semua suami sanggup berkorban macam ini, salute!
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Pengorbanan seorang suami demi keluarga bukan sekadar kata-kata
Bagi Mohd Azmizam Mansor, 40, dia membuktikannya dengan tindakan luar biasa apabila sanggup menjual rumah dan meninggalkan kerjaya sebagai anggota bomba demi mengikut isteri tercinta menyambung pengajian di Leeds, United Kingdom (UK).
Menurut laporan Harian Metro, Azmizam bukan sahaja berhijrah ke negara asing, malah memulakan kehidupan baharu dari bawah dengan bekerja dua pekerjaan demi memastikan keluarga terus bertahan di perantauan.
Pada sebelah pagi, beliau bekerja sebagai tukang cuci di sebuah kampus, manakala bermula jam 4.30 petang hingga 9.30 malam, dia bertugas sebagai pembantu tukang masak di restoran milik rakyat Malaysia.
Berkongsi kisah perjalanan hidupnya, Azmizam berkata, dia bersama isteri, Fatin Nabilah Azren, 37, serta tiga anak mereka telah menetap di UK sejak Oktober 2021.

Namun, kehidupan di bumi asing tidak semudah yang disangka
"Waktu itu adalah pasca COVID-19 dan penuntut mula kembali ke kampus maka permintaan rumah sewa tinggi jadi susah nak dapatkan rumah buat keluarga.
"Tapi akhirnya dapat juga rumah sewa dengan bantuan satu pasangan, ustaz Daud dan ibu Hamidah yang sudah jadi penduduk tetap (PR) di sana.
"Selesai urusan rumah, saya cuba cari kerja dan syukur diterima sebagai pembantu tukang masak di sebuah restoran milik orang Malaysia di sana yang menjual nasi lemak.
"Ikutkan tak pandai masak tapi saya cuba belajar malah sampai sekarang bekerja di restoran sama walaupun sudah bertukar pemilik," katanya.
Cabaran bukan hanya dari segi tempat tinggal dan pekerjaan, malah bahasa juga menjadi halangan besar pada awalnya
"Saya tak fasih berbahasa Inggeris sampai takut nak keluar rumah. Anak-anak pun sama tapi lama-kelamaan mereka boleh sesuaikan diri dan sekarang sangat lancar.
"Penerimaan (masyarakat) amat baik, tak pernah berdepan isu perkauman malah sejak tinggal di sini, boleh nampak perubahan dalam diri saya antaranya daripada lelaki yang tak boleh masak tapi sekarang sudah pandai.
"Daripada tak buat kerja kemas rumah tapi sekarang sudah boleh mengemas cuma kena bekerja lebih kuat kerana komitmen tinggi…gaji pekerjaan bukan profesional pula dikira mengikut jadi jika rajin dapat lebih," katanya lagi.
Selepas lima tahun di perantauan, Azmizam mengakui pernah terfikir untuk pulang ke tanah air, namun memberi keutamaan kepada pengajian isterinya yang kini berada di tahun akhir.
"Emak dan ibu bapa mentua pun masih ada tapi sekarang kena bagi isteri fokus dengan pengajiannya sampai habis belajar. Kemudian, baru bincang dengan isteri kerana apa pun, nak kukuhkan kewangan untuk kesenangan keluarga," katanya.
Dalam pada itu, isterinya tidak dapat menyembunyikan rasa terharu atas pengorbanan suaminya yang sanggup menjual satu-satunya aset demi masa depan mereka sekeluarga
"Sejak dapat tahu suami jual rumah di Kuantan, Pahang untuk kami sekeluarga berhijrah ke UK, saya sudah sebak kerana tak semua orang boleh buat memandangkan saya tahu itu satu-satunya aset dia ada.
"Terima kasih saya ucapkan buatnya dan dia dan anak juga yang menjadi pembakar semangat untuk belajar bersungguh-sungguh sehingga tamat pengajian nanti," katanya.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 