Individu Kongsi Kisah 7 Tahun Beri Iftar Percuma – “Orang Yang Beratur Itu Bukan Peminta”
Setiap rezeki yang kita miliki sebenarnya mengandungi hak orang lain.
Cover image via @themeera9ty (Threads)Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Setiap Ramadan, pasti ada kisah-kisah kecil yang jarang disorot, tetapi besar nilainya di sisi kemanusiaan
Menerusi perkongsian di Threads oleh @themeera9ty, seorang individu berkongsi perjalanan tujuh tahun menganjurkan meja iftar percuma sebuah inisiatif yang bermula dengan penuh tanda tanya, namun kini menjadi rutin penuh makna setiap kali Ramadan menjelma.
Menurutnya, pada hari pertama membuka meja iftar percuma tujuh tahun lalu, pelbagai persoalan bermain di fikiran. Adakah orang akan datang? Cukupkah makanan yang disediakan? Mampukah usaha ini bertahan sehingga 20 hari?
Namun menjelang pukul 5 petang pada hari tersebut, satu demi satu individu mula hadir. Seorang ibu bersama dua anak kecil. Seorang pakcik yang bekerja di kebun.
Seorang penghantar makanan yang masih memakai helmet. Seorang makcik yang sanggup menaiki bas demi mendapatkan juadah berbuka.
Ketika itulah dia menyedari satu perkara penting mereka yang beratur itu bukan peminta. Mereka cuma sedang menunggu rezeki yang Allah kirim melalui tangan orang lain.

Masakan iftar yang disediakan adalah sama dengan hidangan yang dinikmati oleh keluarga penganjur sendiri
Menariknya, masakan yang disediakan untuk iftar adalah sama seperti yang dinikmati oleh keluarga penganjur sendiri lengkap dengan menu utama, lauk sampingan, pencuci mulut dan minuman.
Malah, ketika merancang menu, mereka memilih hidangan yang secara jujurnya teringin untuk dimakan sendiri.
Sepanjang 1 hingga 20 Ramadan, fokus utama diberikan kepada golongan asnaf, ibu tunggal, keluarga yang berpuasa serta mereka yang mungkin jarang kelihatan susah di mata masyarakat.


Manakala pada 10 malam terakhir Ramadan, sumbangan biasanya disalurkan kepada anak-anak tahfiz.
"20 hari ini bukan tentang kami. Bukan tentang gambar. Bukan tentang pujian. Ini tentang satu mesej: Rezeki kita bukan milik kita sepenuhnya. Ada bahagian orang lain di dalamnya.
"Kalau kita rasa cukup, mungkin sebab kita pernah jadi sebab orang lain rasa cukup. Doakan supaya Allah terima segala usaha kecil ini. Dan kalau tahun depan diberi umur panjang, moga kita boleh buat lebih baik daripada tahun ini," tulisnya.
Kisah ini menjadi peringatan bahawa Ramadan bukan sekadar tentang menahan lapar dan dahaga, tetapi tentang memahami bahawa setiap rezeki yang kita miliki sebenarnya mengandungi hak orang lain. Kadangkala, yang diperlukan hanyalah keberanian untuk memulakan dan keikhlasan untuk meneruskan.


Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



