Idea Spontan Jadi Perhatian, Wanita Tawar Khidmat Jaga Anak Untuk Ibu Bapa Shopping Raya Di MITEC
Difahamkan, caj sebanyak RM40 sejam dikenakan untuk kanak-kanak berusia antara empat hingga enam tahun.
Cover image via @surosyaidah (Threads)Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Demam membeli-belah Aidilfitri di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) Kuala Lumpur nampaknya bukan sahaja membuka peluang kepada peniaga, malah turut mencetuskan idea unik dalam kalangan orang ramai
Di laman Threads, seorang wanita dikenali sebagai Suhaini menjadi perhatian netizen apabila menawarkan perkhidmatan menjaga kanak-kanak bagi membantu ibu bapa yang mahu membeli-belah dengan lebih tenang di bazar mega Aidilfitri yang berlangsung di kawasan tersebut.
Menurut laporan Kosmo!, wanita tersebut berkata idea itu tercetus secara spontan memandangkan rumahnya terletak berdekatan MITEC, sekali gus memudahkan ibu bapa yang mahu meninggalkan anak kecil buat sementara waktu.
Katanya, dia sendiri memahami cabaran yang dihadapi ibu bapa yang terpaksa membawa anak kecil ke bazar yang sesak terutama pada waktu malam.

"Saya memahami perasaan ibu bapa yang terpaksa menghadap kesesakan lalu lintas dan kesulitan membawa anak kecil ke bazar Aidilfitri.
"Tetapi saya tidak jangka sambutan yang diterima daripada netizen amat memberangsangkan, mungkin mereka (ibu bapa) tidak mempunyai pilihan lain, mereka tidak sanggup meninggalkan anak-anak terutama yang masih kecil pada waktu malam.
"Saya pun tidak suka bersesak pada waktu malam lebih-lebih lagi mempunyai anak kecil berusia lima tahun," katanya.
Disebabkan itu, dia mengambil inisiatif menawarkan khidmat menjaga kanak-kanak pada hujung minggu sahaja bagi membantu ibu bapa yang mahu membeli-belah tanpa perlu risau tentang keselamatan anak mereka

Bagi perkhidmatan tersebut, Suhaini mengenakan caj sebanyak RM40 sejam untuk kanak-kanak berusia antara empat hingga enam tahun.
Bagaimanapun, ibu bapa diminta menyediakan sendiri keperluan anak seperti makanan dan minuman sebelum menghantar mereka ke rumahnya.
"Kebanyakan kanak-kanak sudah makan sebelum dihantar. Setakat ini belum ada sebarang aduan dan semuanya nampak selesa berada di rumah saya," katanya lagi.
Perkongsian mengenai perkhidmatan itu turut mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen, dengan ada yang memuji idea tersebut sebagai kreatif dan membantu ibu bapa, manakala sebahagian lain mengingatkan agar aspek keselamatan kanak-kanak sentiasa diutamakan.
Lihat posting di bawah:
View on Threads
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



