Idea ‘Luar Kotak’ Netizen Kurangkan Sesak Balik Kampung Cetus Bualan Ramai
Apa pendapat anda?
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Menjelang musim perayaan, isu kesesakan jalan raya ketika pulang ke kampung sentiasa menjadi topik hangat dalam kalangan rakyat Malaysia
Baru-baru ini, seorang pengguna Facebook berkongsi beberapa cadangan di luar kotak yang menurutnya boleh membantu mengurangkan kesesakan lebuh raya ketika musim balik kampung.
Menerusi satu hantaran, Tarmizi Ishamel mencadangkan lima idea utama, termasuk penggunaan sistem nombor plat ganjil dan genap bagi mengawal jumlah kenderaan yang berada di jalan raya pada satu-satu masa.
Menurutnya, pendekatan itu berpotensi mengurangkan kesesakan kerana jumlah kereta di lebuh raya dapat dikurangkan hampir separuh.

"Bayangkan kalau balik kampung dipecahkan ikut nombor plat. Hari pertama, hanya plat ganjil dibenarkan bergerak jauh. Hari kedua, nombor plat genap pula. Dengan cara ini jumlah kereta di lebuh raya boleh turun hampir separuh pada satu masa," katanya.
Selain itu, dia turut mencadangkan bayaran tol yang berubah mengikut waktu perjalanan bagi mengelakkan orang ramai bergerak pada masa yang sama
"Sekarang tol sama sahaja tidak kira pukul berapa memandu, tetapi bayangkan jika dibuat begini. Waktu puncak, tol lebih mahal. Waktu tengah malam atau awal pagi, tol lebih murah.
"Tujuannya untuk pecahkan aliran trafik supaya tidak semua orang bergerak pada masa yang sama," katanya lagi.
Dalam masa sama, beliau turut menyentuh tentang keperluan cuti pulang ke kampung secara berperingkat.
"Jika cuti dibuat berperingkat antara sektor atau syarikat, aliran trafik boleh diagihkan sepanjang beberapa hari. Jumlah kereta keluar serentak akan turun dengan jelas.
"Selain itu, cadangan keempat pula ialah kawalan lebih tegas di hentian rehat dan rawat (R&R). Kadangkala kesesakan lebuh raya bermula dari kereta beratur masuk R&R. Apabila parkir penuh, kereta mula berhenti di lorong kiri.
"Lama-lama trafik jadi perlahan. Jika R&R kecil, dihadkan kemasukan atau diarahkan ke R&R lain, kesan jem boleh dikurangkan," tambahnya.

Gambar sekadar hiasan.
Image via PLUS Malaysia BerhadTarmizi turut mencadangkan penggunaan paparan trafik masa nyata bagi membantu pemandu merancang perjalanan dengan lebih baik, termasuk maklumat kelajuan purata setiap segmen lebuh raya, masa perjalanan sebenar antara bandar, kapasiti R&R dan lokasi smart lane yang sedang aktif

Gambar sekadar hiasan.
Image via Sinar HarianDalam hantaran sama, dia turut berkongsi dua idea yang dianggap lebih ekstrem iaitu konsep beraya secara dalam talian serta pembangunan kampung dengan kemudahan seperti bandar.
"Jika fikir lebih jauh lagi, mungkin 10 tahun akan datang ada idea yang lebih gila. Panggilan video satu kampung, duit raya transaksi dalam talian sahaja. Atau satu lagi idea ekstrem, tukar kampung jadi bandar kecil.
"Kalau kampung sudah ada sistem MRT atau LRT seperti bandar, mungkin orang tidak perlu memandu jauh untuk bergerak. Bunyi pelik sekarang. Tetapi banyak perkara yang dulu nampak mustahil, hakikatnya mudah.
"Lebuh raya tidak berubah banyak setiap tahun. Selagi berjuta-juta orang keluar pada masa yang sama, kesesakan tetap akan berlaku. Kadangkala penyelesaiannya bukan sekadar tambah lorong. Tetapi ubah cara kita bergerak, berfikir dan merancang perjalanan," katanya.
Susulan tularnya posting tersebut, ia turut mengundang pelbagai reaksi daripada pengguna media sosial, dengan ada yang menyokong idea tersebut dan ada juga yang melihatnya sebagai cadangan yang sukar dilaksanakan
Di ruangan komen, seorang pengguna turut mencadangkan peraturan penggunaan lebuh raya berdasarkan kapasiti enjin kenderaan.
"Kena buat peraturan penggunaan jalan raya ikut jenis enjin dan cc kenderaan kereta. Pagi tengah hari cc kecil 600cc>1.3cc. Petang, malam 1.5cc-2.0cc, manakala tengah malam, awal pagi cc 2.2cc ke atas.
"Jika cc kecil, semua sama kelajuan perlahan, kalau sedang-sedang, sama-sama laju. Yang tengah malam, jalan lengang untuk semua cc besar yang memang semua nak 'berembat' atas lebuh raya. Cara ini boleh elak kesesakan lebuh raya," komen Zackry JB Fotoshooter.
Seorang lagi pengguna turut menyatakan sistem nombor plat sebenarnya sudah digunakan di beberapa negara luar.
"Sistem nombor plat tu ada beberapa negara luar laksanakan. Contoh hari plat warna biru, hanya Isnin dan Khamis saja, plat merah Selasa dan Jumaat. Kalau keluar bukan harinya akan disaman. Cuma kalau begitu jaringan pengangkutan awam mesti kena bagus. Ada alternatif kalau tak dapat bawa kenderaan," kata Azzai Padzil pula.
Walaupun ada yang melihat idea tersebut sebagai terlalu out of the box, perbincangan yang tercetus menunjukkan ramai rakyat Malaysia sebenarnya mempunyai pandangan tersendiri tentang cara mengurangkan kesesakan lebuh raya setiap kali musim perayaan.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 