Hanya 3 Langkah Mudah, Tukar Akaun KWSP Anda Sekarang Kepada Simpanan Shariah
Korang yang Muslim jangan lupa tukar ke Simpanan Shariah ya.
Cover image via Harian MetroFollow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Apabila bercakap soal simpanan masa depan, ramai antara kita sebenarnya mahu memastikan sumber kewangan yang dikumpul bukan sahaja cukup, tetapi juga diberkati
Bagi pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), anda mungkin tahu bahawa terdapat dua pilihan akaun yang ditawarkan iaitu Simpanan Konvensional dan Simpanan Shariah.
Namun masih ramai yang tidak benar-benar memahami apa itu Simpanan Shariah dan mengapa semakin ramai ahli memilihnya sebagai alternatif untuk merancang persaraan mereka.
Apa itu simpanan Shariah KWSP

Gambar sekadar hiasan.
Image via Berita HarianSimpanan Shariah ialah pilihan akaun yang membolehkan ahli menguruskan simpanan persaraan mengikut prinsip kewangan Islam.
Melalui pilihan ini, wang yang disimpan akan dilaburkan hanya dalam pelaburan yang patuh syariah. Ini bermakna ia bebas daripada unsur yang dilarang seperti riba, perjudian dan ketidakpastian dalam kontrak.
Bagi mereka yang ingin memastikan sumber kewangan yang digunakan pada masa depan benar-benar halal, pilihan ini dilihat sebagai satu langkah yang memberi ketenangan.
Kenapa ramai Muslim memilih simpanan Shariah?
Bagi ahli beragama Islam, terdapat beberapa sebab utama mengapa Simpanan Shariah semakin mendapat perhatian.
Antaranya kerana pengurusan dana dilakukan mengikut prinsip syariah seperti yang dinyatakan dalam Seksyen 43A, Akta KWSP 1991.
Selain itu, ia membantu ahli menyediakan simpanan persaraan yang patuh syariah untuk kegunaan diri dan keluarga pada masa depan. Ini termasuk bagi mereka yang merancang menggunakan simpanan tersebut untuk menunaikan ibadah haji atau umrah tanpa rasa ragu terhadap sumber dana.
Pada masa sama, simpanan ini juga memastikan wang ahli tidak dilaburkan dalam aktiviti yang bercanggah dengan syarak seperti riba, maysir (perjudian) dan gharar (ketidakpastian dalam kontrak) yang sering wujud dalam sistem kewangan konvensional.
Malah, sekiranya ahli meninggal dunia, simpanan yang ditinggalkan juga merupakan dana halal yang boleh diagihkan kepada waris sebagai pusaka.
Bukan hanya untuk Muslim

Gambar sekadar hiasan.
Image via Harian MetroImage viaMenariknya, Simpanan Shariah juga terbuka kepada ahli bukan Islam yang ingin memilih pelaburan lebih beretika.
Walaupun berasaskan prinsip syariah, objektif pelaburan dan tahap risikonya sebenarnya sama seperti Simpanan Konvensional.
Perbezaannya hanyalah dari segi pelaburan dipilih kerana ia tertumpu kepada pelaburan yang mematuhi prinsip syariah serta mempunyai pendedahan yang lebih minimum dalam sektor kewangan konvensional.
Cara tukar ke simpanan Shariah
Bagi ahli yang berminat, proses pendaftaran sebenarnya sangat mudah dan boleh dilakukan secara dalam talian melalui aplikasi KWSP i-Akaun.
Langkahnya adalah seperti berikut:
- Log masuk ke aplikasi i-Akaun
- Klik pada bahagian Profil
- Pilih Butiran Akaun
- Ikuti langkah yang dipaparkan sehingga pendaftaran berjaya
Dengan pilihan ini, ahli bukan sahaja dapat merancang masa depan kewangan mereka, malah berpeluang memastikan simpanan yang dikumpul selari dengan prinsip yang diyakini.

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



